
SEMUA warga Singapura, penduduk tetap, dan pemegang pas jangka panjang yang pulang dari negara Asean, Perancis, India dan Switzerland perlu mengasingkan diri selama 14 hari di kemudahan Jangan Keluar Rumah (SHN) di hotel setempat.
Ini berkuat kuasa bermula Ahad (5 April) pada 11.59 malam, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (4 April).
Langkah itu sebelum ini hanya bagi mereka yang pulang dari Amerika Syarikat dan Britain, yang masih perlu menjalani SHN di kemudahan tersebut.
"Negara-negara itu dipilih berdasarkan penilaian risiko kes diimport di Singapura. Bagi mereka yang pulang dari negara lain, mereka boleh menjalani SHN 14 hari di rumah mereka," kata MOH.
Kementerian itu berkata kemudahan SHN bukan sahaja mengenai peruntukan bilik hotel.
MOH juga perlu bekerjasama dengan pengendali hotel untuk melatih kakitangan, melaksanakan aturan keselamatan, serta kawalan jangkitan, antara lain.
Singapura tidak mempunyai cukup kemudahan seperti itu untuk menampung semua yang pulang, dan perlu mengutamakannya bagi mereka yang pulang dari negara khusus itu, kata MOH.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg