Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MFA: Hanya proses politik terangkum pimpinan Syria mampu selesai kesulitan perang saudara

Dec 12, 2024 | 1:33 AM
Golongan pelarian Syria yang berada di persimpangan Al-Masnaa bersiap untuk kembali ke Syria, di sempadan Lebanon-Syria pada 11 Disember. Ini menyusuli permintaan Jabatan Ehwal Politik pemerintahan penyelamat negara itu yang menyeru semua pelarian di luar Syria agar pulang berikutan penggulingan mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, pada 8 Disember.
Golongan pelarian Syria yang berada di persimpangan Al-Masnaa bersiap untuk kembali ke Syria, di sempadan Lebanon-Syria pada 11 Disember. Ini menyusuli permintaan Jabatan Ehwal Politik pemerintahan penyelamat negara itu yang menyeru semua pelarian di luar Syria agar pulang berikutan penggulingan mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, pada 8 Disember. - Foto EPA-EFE

Keadaan kompleks di Syria boleh diselesaikan secara muktamad melalui satu proses politik yang terangkum dan diterajui oleh Syria, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura, dalam satu kenyataan pada lewat malam 11 Disember.

Proses politik itu disahkan dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2254, yang diterima sebulat suara pada 18 Disember 2015, sebagai langkah menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan demi penyelesaian politik di Syria.

Resolusi dalam bentuk dokumen itu membentang pengamatan menyeluruh mengenai isu yang perlu diketengahkan bagi menamatkan konflik di Syria dan membawa kestabilan dan keamanan yang jitu pada negara itu.

MFA menambah sejak meletusnya perang saudara pada 2011, lebih 300,000 penduduk Syria telah terbunuh dan lebih 13 juta warganya yang lain kehilangan tempat tinggal, dengan ramai daripada mereka mencari perlindungan di negara lain.

Menurut kenyataan itu lagi, Singapura sedang memantau dengan teliti perkembangan di Syria dan berharap golongan pelarian dapat pulang dengan selamat ke tempat tinggal mereka apabila keamanan kembali semula.

“Sebarang penyelesaian politik yang bermakna mesti menghormati kedaulatan, integriti wilayah dan kemerdekaan Syria.

“Kuasa asing tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada keretakan dalam masyarakat Syria untuk mencapai matlamat strategik mereka sendiri,” ujar MFA.

Ia turut menambah bahawa semua pihak mesti memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam Syria yang telah banyak menderita.

Memandangkan keadaan semasa yang tidak menentu di negara itu, penduduk Singapura harus terus mengelak daripada berkunjung ke Syria atau kekal menetap di negara itu, tambah MFA.

“Singapura tidak mempunyai perwakilan diplomatik di Syria yang mengekang keupayaan kami untuk menghulurkan bantuan konsular dalam kecemasan,” ujar kenyataan itu.

Pada 8 Disember, pemberontak Syria, yang muncul di televisyen negara itu, berkata mereka telah menggulingkan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, menamatkan dinasti keluarga beliau selama 50 tahun dalam serangan yang menimbulkan kebimbangan datangnya gelombang baru ketidakmantapan di Timur Tengah yang sudah dicengkam peperangan.

Kemunculan kilat pakatan militia yang diterajui Hayat al-Tahrir al-Sham (HTS) – bekas sekutu Al-Qaeda – menandakan salah satu titik perubahan terbesar bagi rantau itu sejak beberapa generasi.

HTS disifatkan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat, Turkey dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg