MILLENNIUM Hotels and Resorts akan memberhentikan 159 pekerjanya - atau 15.2 peratus daripada jumlah kakitangannya di sini - sebagai sebahagian daripada semakan operasi hotel dan pejabat tempatan di tengah-tengah kemerosotan akibat pandemik Covid-19. "Ini adalah langkah yang sukar tetapi tidak dapat dielakkan," menurut satu kenyataan syarikat itu pada Rabu (19 Ogos). "Pandemik global dan kemerosotan ekonomi telah menjejas hotel-hotel dengan teruk." Ia berkata sekitar satu pertiga daripada hotel-hotel syarikat itu di seluruh dunia ditutup buat sementara waktu manakala "yang terus dibuka beroperasi dengan penghunian yang jauh lebih rendah daripada sebelumnya". Kemerosotan ekonomi telah menjejas teruk operasi dan prestasi, tambah syarikat itu yang telah memperketat perbelanjaan di seluruh syarikat termasuk mengurangkan gaji pemimpin kanan hingga 30 peratus. Pemberhentian kerja itu akan menjejas lebih ramai warga asing daripada warga Singapura, menurut kenyataan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg