Topic followed successfully
Go to BHkuMindef: $90j bagi makmal keselamatan bio peringkat tinggi
Mindef: $90j bagi makmal keselamatan bio peringkat tinggi
Mindef: $90j bagi makmal keselamatan bio peringkat tinggi
KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) akan mempertingkat makmal keselamatan bio sedia ada untuk memastikan ia siap menangani ancaman bio serta penyakit berjangkit lain pada masa akan datang.
Menjelang 2025, Singapura akan mempunyai makmal pembendungan keselamatan bio peringkat tertinggi pertamanya, umum Menteri Pertahanan Ng Eng Hen semalam.
Makmal itu adalah yang pertama di Asia Tenggara, katanya semasa perbahasan bajet Mindef di Parlimen semalam.
Sebanyak $90 juta akan dibelanjakan untuk mempertingkat kebolehan Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO) agensi penyelidikan pertahanan negara kepada keselamatan bio tahap 4 (BSL-4), tahap tertinggi langkah berjaga-jaga keselamatan bio secara global.
Virus diklasifikasikan ke dalam Kumpulan Risiko 1 hingga 4, mengikut kadar jangkitan serta kemautan.
Kemudahan sedia ada dalam Makmal Nasional DSO boleh menangani virus dalam Kumpulan Risiko 3 seperti Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) dan Covid-19 secara selamat, kata Mindef.
"Banyak negara maju sudah mempunyai makmal dengan tahap keselamatan bio tertinggi - BSL-4 - yang dibina bertahun dahulu.
"Sejak 2015, negara Asia seperti China, Jepun dan Korea juga sudah membangunkan makmal BSL-4 serupa. Di Asean, tidak ada langsung.
"Oleh itu, Mindef akan melaburkan sekitar $90 juta bagi DSO bekerjasama dengan MOH (Kementerian Kesihatan) untuk meningkatkan kemudahan kita di dalam DSO kepada tahap tertinggi keselamatan bio," kata Dr Ng.
Antara makmal BSL-4 yang terdapat di dunia sekarang termasuk Institut Jangkitan dan Imuniti Peter Doherty di Melbourne, Australia; Institut Robert Koch di Berlin, Jerman dan Makmal Nasional Galveston di Texas, Amerika Syarikat (AS), menurut The Straits Times.
Makmal BSL-4 memerlukan tahap pemisahan udara yang lebih ketat, dan mesti mem`punyai keupayaan memati dan mengasingkan kemudahan dengan pantas apabila perlu.
Meningkatkan kemudahan Makmal Nasional DSO akan memberi Singapura kebolehannya sendiri untuk menangani, menilai dan membangunkan langkah pencegahan terhadap virus yang lebih memautkan dan berjangkit di masa hadapan, kata Mindef.
Makmal itu akan digunakan untuk mengasing dan membiak patogen penyakit berjangkit yang baru muncul dan patogen berisiko tinggi yang diketahui, untuk membangunkan diagnostik serta huraian seperti terapi antibodi, tambah kementerian itu.
Sementara itu, Dr Ng menambah pakar luar negara dan pihak ketiga akan dilibatkan untuk memberi nasihat mengenai keseluruhan proses peningkatan itu, termasuk merancang, membina dan mengesahkan sistem yang digunakan secara berkala.
Perunding berkelayakan dengan pengalaman relevan akan dilantik bagi memastikan kemudahan baru itu mematuhi standard dan garis panduan antarabangsa dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.
Dr Ng berkata pandemik atau serangan biologi pada masa hadapan mungkin lebih teruk daripada Covid-19 dan Singapura tidak boleh mendapatkan respons dari luar atau mengharapkan bantuan negara lain.
"Adalah tidak bijak untuk kita bergantung pada orang lain dan kita perlu membina kemampuan di Singapura untuk melindungi diri kita sendiri," tegas Dr Ng.

