Topic followed successfully
Go to BHkuMinds: Penghuni tidak pulang ke rumah sejak 7 Mei
Minds: Penghuni tidak pulang ke rumah sejak 7 Mei
Bilangan kes Covid-19 di rumah itu kekal pada 27 - empat kakitangan dan 23 penghuni
Minds: Penghuni tidak pulang ke rumah sejak 7 Mei
SEMUA penghuni Rumah Dewasa Kurang Upaya MINDSville tidak keluar atau pulang ke rumah sendiri sejak 7 Mei lalu, kata Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds).
Ini bermakna penghuni rumah kebajikan tersebut tidak meninggalkan tempat itu kecuali untuk janji temu perubatan.
Hingga 3 petang semalam, bilangan kes Covid-19 di rumah itu kekal pada 27 - empat kakitangan dan 23 penghuni, kata seorang jurucakap Minds kepada Berita Harian.
"Tiada perkembangan mengenai bilangan kes positif Covid-19 sejak semalam (kelmarin)," kata jurucakap itu.
Terdapat seramai 112 individu kurang daya intelek berusia 18 tahun dan ke atas yang tinggal di rumah itu, yang terletak di Lorong Napiri di Hougang.
Semua kakitangan yang tinggal di rumah itu juga tidak dibenarkan untuk meninggalkannya sejak 7 Mei lalu, kecuali untuk tujuan penting.
Malam kelmarin, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengumumkan seramai 27 orang di MINDSville telah diuji positif bagi Covid-19.
Kesemua 255 penghuni dan kakitangan MINDsville telah diiuji, kata MSF.
Awal sebelum itu, seorang penghuni wanita berusia 37 tahun telah dikenal pasti sebagai kes pertama di rumah itu.
Beliau mengalami batuk dan selesema pada 29 Mei, dan demam pada keesokan harinya.
Hingga 1 Jun, beliau disifatkan sebagai kes yang tidak berkaitan dengan kes Covid-19 lalu.
Penghuni itu, yang merupakan warga Singapura, dibawa ke poliklinik dan didapati positif pada 31 Mei setelah menjalani ujian pantas antigen dan ujian reaksi rantai polimerase (PCR).
Rumah kebajikan itu kemudian segera mengambil langkah tambahan untuk memastikan kesihatan semua penghuni dan kakitangan, kata MSF.
Daripada 27 kes yang diuji positif, seramai 23 daripada mereka tidak mengalami gejala dan hanya didapati positif menerusi ujian proaktif, kata MSF.
MSF juga berkata 91 peratus daripada kakitangan dan penghuni sudah divaksin pada Februari dan Mac lalu.
Rumah kebajikan itu juga telah menghentikan pergerakan masuk dan keluar penghuni, melarang pengunjung, dan telah selesai menjalani kerja pembersihan dan nyahjangkitan kawasannya.
Semua penghuni, kakitangan dan kenalan rapat, termasuk klien, pengunjung dan vendor, telah dikuarantin dan akan diuji secara kerap, kata MSF.
Minds berkata ia telah meningkatkan langkah pengurusan keselamatan di rumah itu apabila Singapura mengenakan sekatan di bawah Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat), termasuk pemantauan kesihatan setiap hari, jarak selamat antara penghuni, termasuk waktu makan dan kegiatan.
Pembersihan tangan dan protokol kebersihan diri juga telah dikuatkuasakan dalam kalangan penghuni.
Kakitangan pula telah diminta untuk mengelakkan interaksi sosial dan fizikal antara mereka, dan mengamalkan jarak selamat.
"Penghuni tenang dan dapat menghadapi langkah terbaru dengan baik, dan Minds juga terus memastikan keperluan mereka dipenuhi," kata jurucakap itu.
Ditanya mengenai adakah rumah itu sudah mengenal pasti sumber jangkitan, jurucakap tersebut berkata:
"Tumpuan kami sekarang adalah untuk bekerjasama dengan MSF dan SG Enable untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penghuni dan kakitangan."
Dalam kenyataannya sebelum ini, Minds juga berkata ia telah menghubungi pihak pengasuh untuk memberi jaminan bahawa keselamatan semua penghuni, klien dan kakitangan merupakan tumpuan utamanya.

