KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) telah menerbitkan tanda aras bagi bayaran pakar bius dan bayaran doktor sektor swasta yang memberi konsultasi pesakit dalam (inpatient).
Ia menunjukkan julat bayaran yang disyorkan untuk pakar bius bagi sekitar 190 prosedur, serta bayaran yang disarankan bagi konsultasi dan reviu pesakit dalam jenis wad berbeza oleh doktor sektor swasta.
Dalam kenyataannya semalam, MOH berkata pembangunan tanda aras bayaran bagi penyedia penjagaan kesihatan swasta sebahagian daripada strategi lebih besar memastikan kos penjagaan kesihatan kekal berpatutan dan sistem penjagaan kesihatan Singapura dapat berkekalan.
Ini set tanda aras bayaran kedua, menyusuli tanda aras bayaran pakar bedah prosedur pembedahan biasa yang diterbitkan MOH pada 2018.
"Tanda aras bayaran akan memberi pesakit dan pembayar, seperti syarikat insurans, maklumat lebih lengkap tentang julat wajar bagi bayaran doktor untuk pembedahan dan penginapan hospital serta membolehkan keputusan lebih bijak.
"Ia juga akan menjadi panduan bagi penyedia penjagaan kesihatan sektor swasta dalam mengenakan bayaran sewajarnya," kata MOH.
Ia berkata tanda aras bayaran tersebut disarankan oleh Jawatankuasa Penasihat Tanda Aras Bayaran (FBAC) dan diterima sepenuhnya oleh MOH pada 23 Disember.
Menurutnya, dalam membangunkan tanda aras bayaran baru itu FBAC menyemak fakta seperti sejarah bayaran transaksi dan kadar inflasi. Ia juga berunding dengan beberapa pihak berkepentingan dalam lebih 10 sesi yang diadakan sepanjang dua bulan lalu dan melibatkan sekitar 200 pakar daripada Kolej Ahli Anestesiologis, Singapura; wakil daripada badan profesional; karyawan perubatan sektor awam dan swasta; serta syarikat insurans.
"Ini membantu memastikan tanda aras itu mencerminkan julat adil bagi bayaran profesional yang mewakili risiko serta usaha yang dilakukan oleh doktor, sambil mengimbangi kepentingan dan perspektif pihak berkepentingan lain," kata MOH.
Dengan tanda aras baru itu, saranan bagi bayaran pakar bius sektor swasta untuk prosedur pembedahan katarak ialah antara $500 dengan $800 sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST), berbanding $400 dengan $800 termasuk GST sekarang.
Tanda aras bayaran doktor bagi kehadiran pesakit bergantung pada jenis wad, dengan saranan bayaran untuk wad umum antara $200 dengan $400, Unit Pergantungan Tinggi antara $250 dengan $500 dan Unit Jagaan Rapi antara $300 dengan $600 sehari dalam waktu pejabat.
Persatuan Insurans Hayat Singapura berkata dalam satu kenyataannya industri insurans hayat menyokong usaha secara kolektif membendung kenaikan kos penjagaan kesihatan di Singapura.
"Kami akan terus secara proaktif memulakan dan mengambil bahagian dalam inisiatif yang tertumpu pada memastikan penjagaan kesihatan kekal dapat diakses dan dimampui oleh penduduk umum," katanya.
MOH juga mengumumkan bahawa ia telah melantik anggota baru ke FBAC untuk menasihatkan tentang semakan tanda aras bayaran yang diterbitkan serta membangunkan bahagian tanda aras bayaran tambahan mulai tahun depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg