KEMENTERIAN Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan melanjutkan tempoh permohonan bagi Geran Pemulihan Covid-19 (CRG) sehingga 31 Disember ini.

Ini akan menawarkan sokongan berterusan kepada individu, yang keadaan kewangan dan pekerjaan mereka terjejas dek iklim ekonomi masa kini, kata MSF dalam satu kenyataan semalam.

"Sedang Singapura beralih kepada kehidupan dengan Covid-19, terdapat individu di mana keadaan kewangan dan pekerjaan mereka masih terjejas akibat pandemik ini.

"Ketidaktentuan makroekonomi, seperti kebimbangan kemelesetan di Eropah dan Amerika Syarikat, terus membebani ekonomi. Lantas para individu yang terkesan akibat hilang pekerjaan, cuti tanpa gaji (NPL) atau hilang pendapatan mungkin berhadapan dengan lebih kesukaran menghadapi isu kewangan.

"Lantas MSF telah mengambil keputusan untuk terus menawarkan sokongan bagi pekerja yang terjejas," kata MSF.

CRG diperkenalkan pada 18 Januari tahun lalu bagi menawarkan bantuan kewangan kepada pekerja bergaji rendah hingga peringkat pertengahan dan mereka yang bekerja sendiri (SEP) - yang menghadapi kehilangan pekerjaan bukan secara sukarela, NPL atau hilang pendapatan yang agak banyak untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.

CRG adalah sebahagian daripada beberapa langkah yang diperkenalkan pemerintah semasa pandemik Covid-19.

Sehingga 6 November lalu, MSF telah menyokong sekitar 31,000 individu menerusi CRG dan mengagihkan secara keseluruhannya sekitar $75 juta.

Bagi menawarkan sokongan yang disasarkan kepada mereka yang lebih memerlukan dan lebih berusaha untuk memperbaiki keadaan pekerjaan mereka, beberapa kriteria yang layak di bawah CRG akan disemak semula mulai 1 Januari depan.

Mereka yang layak menerima CRG berusia 21 tahun ke atas, rakyat Singapura serta penduduk tetap (PR), merupakan salah satu kriteria.

Antara kriteria kelayakan lain termasuk mereka juga tinggal dalam hartanah dengan Nilai Tahunan (AV) tidak melebihi $21,000 (berdasarkan AV sehingga 31 Disember ini) dan pemohon juga tidak sepatutnya memiliki lebih daripada satu hartanah kediaman.

Sebelum kehilangan pekerjaan secara tidak sengaja, NPL, dan hilang pendapatan, dianggarkan pendapatan isi rumah mereka adalah $6,000 atau kurang atau pendapatan isi rumah per kapita mereka adalah $2,000 atau kurang, sebulan.

Mulai 1 Januari depan para pekerja sepatutnya telah bekerja untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan secara kumulatif antara 1 Januari tahun lalu dengan 31 Disember ini.