Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis: 211 pelajar Al-Azhar telah selamat pulang ke tanahair

Apr 8, 2020 | 9:41 AM
SELAMAT PULANG KE TANAHAIR: Seramai 211 pelajar Singapura di Universiti Al-Azhar telah selamat kembali sekitar 1.55 pagi tadi, hasil kerjasama antara Muis dan MFA.
SELAMAT PULANG KE TANAHAIR: Seramai 211 pelajar Singapura di Universiti Al-Azhar telah selamat kembali sekitar 1.55 pagi tadi, hasil kerjasama antara Muis dan MFA. - FACEBOOK/AL-AZHAR UNIVERSITY

SEJUMLAH 211 warga Singapura yang menuntut di Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir, telah selamat pulang ke tanahair.

Menerusi kerjasama anatara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Kementerian Ehwal Luar, mereka telah tiba di negara ini pada 1.55 pagi tadi menerusi pesawat yang ditempah khas.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Muis, dinyatakan bahawa kelas di universiti itu telah digantung sejak pertengahan Mac bagi menangani penularang Covid-19, dan para pelajar sebahagian besar masa mereka kekal di tempat kediaman masing-masing, sedang sebahagian mereka mengikuti kursus pembelajaran secara dalam talian.

"Menerusi pegawai perhubungan pelajar kami yang berpangkalan di Kahirah, Muis telah berhubungan secara kerap dengan pelajar dengan memberikan nasihat yang wajar dan menyediakan keperluan asas seperti pelitup, dan cecair tangan membasmi kuman selain mengatur perjalanan pulang mereka.

"Muis juga telah mengenepikan sebahagian wang Zakat untuk membantu pelajar dan ibu bapa menampung pembelian tiket pesawat dalam masa mencabar ini," menurut Muis dalam kenyataannya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad, yang memimpin Muis dalam operasi ini berkata:

"Kami telah berhubungan secara kerap dengan pelajar Singapura dan menawarkan bantuan yang wajar. Menerusi kerjasama ini, kami gembira mereka ini telah selamat pulang ke Singapura, dan menggesa mereka menuruti Perintah Duduk Di Rumah, dan pada masa yang sama memantau kesihatan mereka.

"Muis akan mengambil langkah susulan dengan pihak Universiti Al-Azhar bagi membolehkan pelajar menyambung pelajaran mereka dan mengatur pembelajaran yang fleksibel, sedang kami berusaha memberi sokongan untuk pelajar ini meneruskan pengajian mereka," katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mengekang penularan koronavirus di kalangan masyarakat, semua yang pulang perlu mengemukakan pengisytiharan kesihatan mereka menerusi Kad Ketibaan SG sebelum pelepasan imigresen dan perlu menjalani 14 hari tempoh pengasingan diri di kemudahan Perintah Duduk Di Rumah yang disediakan.

Muis akan terus memantau keadaan sedunia dan bekerja rapat dengan MFA bagi menjaga kesejahteraan pelajar Singapura yang belajar di universiti Islam di luar negara.

Muis juga meminta pelajar yang masih berada di luar negara untuk terus mengambil langkah-langkah pencegahan, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

"Kami amat menggalak pelajar untuk mengikuti perkembangan Covid-19 dari sumber-sumber rasmi dan mendaftar diri mereka di laman pendaftaran MFA secepat mungkin bagi memudahkan perhubungan bila keadaan memerlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg