Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis: Umat Islam boleh guna vaksin Covid-19

Pejabat Mufti keluarkan irsyad perjelas penggunaan, Masagos alu-alukan bimbingan
Dec 14, 2020 | 5:30 AM
26286726-d620-4703-aa12-53d5ee3cf7b0
-

VAKSIN Covid-19 boleh digunakan masyarakat Islam kerana tujuan memperkenalkan vaksin itu dan proses penghasilannya secara dasar berlandaskan prinsip dan nilai-nilai syariat Islam, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Dalam irsyad yang dikeluarkan Pejabat Mufti semalam, Muis menyatakan pendekatan lebih menyeluruh perlu diambil dalam panduan agama berhubung vaksin Covid-19 dan "bukan hanya tertumpu kepada isu halal atau haram bahan-bahan yang digunakan sahaja".

Ia menjelaskan bahawa Islam sangat menitik beratkan kesucian nyawa dan keselamatan serta melindungi kehidupan pada setiap masa.

Justeru, setiap usaha melindungi nyawa manusia daripada sebarang jenis bahaya dan kemudaratan, seperti penghasilan vaksin dalam suasana pandemik, sangat digalakkan dalam agama.

"Kami ingin menasihati dan menganjurkan agar masyarakat Islam mengambil vaksin tersebut apabila ia tersedia ada dan telah diluluskan sebagai selamat dan berkesan. Ia merupakan satu keperluan asas untuk melindungi nyawa manusia dalam konteks penularan wabak yang berlaku di peringkat global," kata Muis.

Menurutnya, tiga aspek utama telah dipertimbangkan dengan teliti - vaksin sebagai keperluan asas; keselamatan dan keberkesanan vaksin; dan bahan-bahan yang boleh digunakan pada vaksin.

Muis berkata wabak Covid-19 mempunyai kesan meluas dan telah menggugat sistem kehidupan dan kegiatan sosial, termasuk amalan ibadah dan keagamaan. Sesuatu vaksin yang berkesan dan selamat dianggap sebagai satu keperluan asas (daruriyyat).

Ia menambah, sebarang vaksin Covid-19 yang telah diluluskan untuk kegunaan awam perlu melalui pelbagai piawaian keselamatan perubatan yang ketat dan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, serta menepati garis panduan etika oleh badan-badan pemerintah.

Vaksin itu juga mesti tidak mempunyai sebarang kesan perubatan buruk dan telah disahkan secara saintifik sebagai tidak menyebabkan sebarang kemudaratan yang dijangka.

"Ini merupakan pertimbangan penting dan bersesuaian dengan prinsip mengelakkan kemudaratan di dalam syariat Islam," kata Muis.

Mengenai bahan yang digunakan pada vaksin pula, ia berkata terdapat situasi bahan-bahan najis atau terlarang dibolehkan penggunaannya sebagai rawatan seperti yang pernah diriwayatkan dalam pelbagai hadis Nabi.

Di samping itu, bahan-bahan najis atau terlarang biasanya digunakan di peringkat pemprosesan awal dan kemudian melalui banyak proses kimia, yang akhirnya menjadikan bahan tersebut hampir tidak dapat dikesan atau sangat sedikit jumlahnya pada produk akhir.

Proses sedemikian dipanggil istihalah dalam fiqah Islam, dengan bahan asal berubah bentuk dan sifat, dan tidak lagi dianggap sebagai haram.

"Dalam situasi sedemikian, produk akhir (ubat atau vaksin) boleh digunakan oleh masyarakat Islam. Seperti yang telah disebutkan, vaksin juga boleh dihasilkan secara sintetik sepenuhnya dan tidak mengandungi sebarang komponen atau sel binatang, seperti pada penghasilan vaksin mRNA bagi Covid-19," kata badan itu.

Malah, fatwa-fatwa Muis yang lalu mengenai perubatan dan vaksin telah pun menangani keprihatinan yang timbul berkaitan asal usul bahan yang digunakan.

Membataskan pandangan agama terhadap vaksin dengan hanya membincangkan sama ada bahannya halal atau tidak, seperti kriteria yang digunakan pada pemakanan, adalah satu pendekatan yang tidak mencukupi dan boleh mengelirukan, tambah Muis.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam Facebooknya, mengalu-alukan bimbingan jelas yang dikeluarkan Pejabat Mufti itu.

"Saya amat bersyukur dengan barisan pemimpin agama kita yang berilmu, progresif, tangkas dan faham akan keprihatinan masyarakat Melayu/Islam setempat dalam konteks pandemik sejagat ini.

"Kepakaran mereka ini wujud berkat kerjasama erat ulama dan kepimpinan agama kita dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA). Saya menyeru agar masyarakat Islam tidak ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin bila masanya tiba kelak," kata beliau.

Anggota Muis dan anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata masyarakat Islam tidak perlu ragu-ragu kerana sebelum ini sudah pun ada fatwa-fatwa mengenai vaksin yang dikeluarkan.

"Kita perlu yakin dengan pihak berkuasa bahawa apabila vaksin dikeluarkan ia telah melalui proses semakan, percubaan dan sebagainya," ujarnya.

Beliau berharap masyarakat Islam di sini tidak terpengaruh dengan pandangan sebaliknya mengenai vaksin Covid-19 yang dikongsi dalam talian atau melalui WhatsApp, dan faham berpandukan sumber maklumat sahih seperti panduan yang dikeluarkan Muis.

Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Dr Mohamed Ali, pula berkata panduan itu menunjukkan betapa progresif institusi fatwa di negara ini.

"Masyarakat Islam Singapura harus menghargai institusi fatwa negara kita yang bersikap progresif, dan memberikan kepercayaan kepada institusi fatwa kita kerana fatwa-fatwa yang dikeluarkan berlandaskan kajian teliti dan berdasarkan konteks keperluan masyarakat Islam di Singapura.

"Justeru, masyarakat kita perlu menaruh keyakinan penuh kepada kepimpinan agama di Singapura dalam hal vaksin Covid-19 ini," katanya. - Laporan tambahan ZULAIQAH ABDUL RAHIM

APA KATA MENTERI MASAGOS

"Saya alu-alukan bimbingan jelas yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) melalui Irsyad mengenai vaksin COVID-19. Para ulama kita berpendirian bahawa vaksin yang disahkan selamat dan berkesan dari segi saintifik dan perubatan boleh digunakan oleh orang Islam demi menyelamatkan nyawa. Ini sejajar dengan nilai-nilai dan prinsip yang kukuh dalam Islam dan dari itu sesuai digunakan oleh masyarakat Islam. Prinsip ini juga digunakan oleh para ulama kita dalam beberapa Fatwa terdahulu mengenai vaksin-vaksin penyakit lain selepas proses saintifiknya dikaji dengan teliti dan terperinci. Saya amat bersyukur dengan barisan pemimpin agama kita yang berilmu, progresif, tangkas dan faham akan keprihatinan masyarakat Melayu/Islam setempat dalam konteks pandemik sejagat ini. Kepakaran mereka ini wujud berkat kerjasama erat ulama dan kepimpinan agama kita dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA). Saya menyeru agar masyarakat Islam tidak ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin bila masanya tiba kelak." - Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg