SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Mulakan kehidupan sekali lagi selepas barah buah dada

Mulakan kehidupan sekali lagi selepas barah buah dada

Mar 25, 2021 | 5:30 AM

Mulakan kehidupan sekali lagi selepas barah buah dada

MENGHARAP DIKURNIAKAN ZURIAT: Setelah menjalani 16 sesi kemoterapi dan 10 sesi radioterapi selama setahun, Cik Roziah Nasir kini sedang mencuba mendapatkan zuriat. - Foto BH oleh KUA CHEE SIONG
MENGHARAP DIKURNIAKAN ZURIAT: Setelah menjalani 16 sesi kemoterapi dan 10 sesi radioterapi selama setahun, Cik Roziah Nasir kini sedang mencuba mendapatkan zuriat. - Foto BH oleh KUA CHEE SIONG -

SELEPAS telefonnya terjatuh ke dadanya secara tidak sengaja, Cik Roziah Nasir memerhatikan ada lebam kecil di sebelah kanan buah dadanya itu.

Lebam itu kemudian semakin tidak menyelesakan, menyebabkan Cik Roziah mula rasa khuatir dan akhirnya beliau berjumpa doktor di poliklinik.

Doktor kemudian menyarankan agar beliau berjumpa pakar buah dada untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Tanpa disangkanya, di sebalik lebam yang kecil itu rupa-rupanya terdapat ketulan sebesar hampir lapan sentimeter, dan ujian biopsi juga menunjukkan terdapat beberapa ketulan barah yang aktif.

Pada usia 36 tahun ketika itu, Cik Roziah diberitahu beliau menghidap barah buah dada tahap tiga.

Menceritakan pengalaman tersebut dengan suara gementar, beliau berkata tidak sangka kejadian seperti ini akan berlaku kepadanya.

"Apabila lebam itu tidak sembuh, saya berfikir ini bukan sesuatu yang normal.

"Tetapi apabila saya ke poliklinik dan doktor itu meyarankan saya berjumpa pakar buah dada, saya mula rasa tidak sedap hati kerana beliau tidak tahu apa masalahnya.

"Setelah menjalani ultrasound, MRI dan ujian biopsi baru mereka memaklumkan kepada saya berita buruk itu," katanya.

"Saya terdiam mungkin selama 10 minit selepas doktor memaklumkan keputusan ujian saya itu.

"Semasa itu, saya berjumpa doktor berseorangan dan tidak tahu apa yang saya harus lakukan. Selalunya ia akan terjadi kepada orang berusia 40 tahun ke atas... Saya masih muda lagi.

"Tidak sangka ia akan terjadi kepada saya," tambahnya.

Cik Roziah kemudian diberitahu perlu melakukan prosedur buang buah dada (mastectomy), dan menjalani rawatan kemoterapi serta radioterapi secepat mungkin.

Sebelum melakukan pembedahan buah dada, beliau menambah bahawa doktornya telah menyarankan melakukan prosedur pembinaan semula buah dada menggunakan otot belakang badannya.

Mengulas mengenai proses tersebut, beliau sebenarnya enggan membuang buah dadanya kerana ia merupakan simbol kewanitaan.

"Doktor berkata saya tidak ada pilihan. Saya harus membuang semuanya kerana ia sudah menular.

"Jika tidak, terdapat kemungkinan barah itu akan kembali lagi.

"Sebelum saya masuk teater pembedahan, doktor saya bertanya, 'Awak O.K dengan pembinaan semula itu?'

"Ketika itu, saya hanya mengangguk dan doktor berkata O.K kita akan lakukan pembinaan semula itu," katanya.

Setelah menjalani pembedahan tersebut pada September 2017, beliau hanya menjalani sesi kemoterapi pada Disember.

Dihubungi Berita Harian, Cik Roziah berkongsi beliau telah menjalani sebanyak 16 sesi kemoterapi dan 10 sesi radioterapi.

Proses pembedahan dan rawatan perit ini mengambil masa selama setahun.

Meskipun terdapat beberapa kali beliau ingin "melarikan diri", anak sulung tiga beradik itu berkata sokongan suaminya serta keluarga memberinya kekuatan terus menjalani rawatannya.

"Saya selalu terfikir tentang adik-adik saya. Saya perlu kuat dan terus hidup untuk mereka. Sepanjang proses ini, kata-kata dorongan mereka membuat saya ingin terus hidup.

"Suami saya, yang ketika itu teman lelaki saya, banyak membantu dan menemani saya semasa sesi kemoterapi.

"Mungkin kepada mereka, ia merupakan sesuatu yang kecil tetapi ia membantu saya," ujar Cik Roziah yang sudah bekerja dalam sektor kesihatan selama 11 tahun.

Kini, lima tahun setelah didiagnosis menghidap barah buah dada, beliau mendorong rakan-rakan, ahli keluarga dan rakan kerjanya agar membuat pemeriksaan secara berkala, dan periksa keadaan kesihatan sebelum terlambat.

"Memang ia agak menakutkan keranakita tidak tahu apa yang akan terjadi.

"Sekarang, saya rasa teknologi dan perubatan kini lebih baik dan banyak lagi cara rawatan yang anda boleh jalani.

"Yang penting adalah menjalani rawatan pada tahap awal supaya mempunyai peluang yang lebih baik dalam kehidupan selepas rawatan.

"Jadi, apabila tiba masanya melakukan ujian, jangan lepaskan peluang itu," jelasnya yang kini sedang mencuba mendapatkan zuriat.

"Memang ia agak menakutkan kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Sekarang, saya rasa teknologi dan perubatan kini lebih baik dan banyak lagi cara rawatan yang anda boleh jalani. Yang penting adalah menjalani rawatan pada tahap awal supaya mempunyai peluang yang lebih baik dalam kehidupan selepas rawatan. Jadi, apabila tiba masanya melakukan ujian, jangan lepaskan peluang itu." - Cik Roziah Nasir.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg