DARIPADA kunyit hingga rempah daripada jintan, kedai runcit tradisional Thandapani Co merupakan pembekal pelbagai jenis rempah-ratus kepada isi rumah setempat serta restoran di sekitar Little India sejak 1960-an.

Terletak di 124 Dunlop Street, ia merupakan antara lapan kedai di kawasan bersejarah itu yang turut menyediakan muzium kecil di bawah skim Galeri Warisan Sudut Jalanan Lembaga Warisan Negara (NHB) mulai semalam.

Kedai lain termasuk Jothi Store and Flower Shop, kedai emas Ani Mani, SIS Premium Meats, Haniffa Textiles dan restoran Ananda Bhavan, Komala Vilas dan The Banana Leaf Apolo.

Little India merupakan kawasan ketiga yang dilancarkan di bawah skim berkenaan.

Sebelum ini, skim itu juga turut dilancarkan di kawasan Balestier pada 2020 dan Kampong Glam tahun lalu.

Di bawah skim tersebut, NHB bekerjasama rapat dengan pemilik kedai setempat untuk menghasilkan galeri yang menampilkan dokumen sejarah, gambar dan artifak yang menceritakan kisah perniagaan serta perdagangan tersebut yang jarang diketahui ramai.

Skim tersebut turut akan diperluas ke kawasan Kreta Ayer, Chinatown dan Geylang Serai menjelang tahun depan.