ORANG ramai tidak harus menggunakan alat penyahjangkitan ultraungu-C (UVC) bagi rumah mereka kerana kebanyakannya tidak mempunyai ciri keselamatan mencukupi untuk melindungi pengguna daripada pendedahan radiasi UV, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) semalam.

Demi mengelakkan pendedahan tidak sengaja dan risiko kesihatan, agensi itu menasihatkan orang awam agar tidak membeli sebarang produk pensteril UVC yang tidak mempunyai ciri keselamatan.

Ia menambah bahawa penyahjangkitan berdasarkan UVC harus digunakan hanya di tempat perindustrian atau komersial dengan ciri keselamatan yang wajar dan amalan penggunaan selamat.

Penggunaan biasa bagi alat sedemikian termasuk mensteril telefon bimbit, barang kemas dan permukaan.

Pendedahan kepada radiasi UVC disebabkan penggunaan tidak wajar atau pensteril tidak selamat boleh menyebabkan kecederaan mata atau kulit.

Ini termasuk kerosakan pada kornea, dengan rasa terbakar dan sensitiviti terhadap cahaya, serta luka yang mengakibatkan kemerahan dan pengelupasan kulit.

"Sejak permulaan pandemik Covid-19, terdapat permintaan semakin meningkat dan ketersediaan alat penyahjangkitan UVC," kata NEA.

Mereka yang membeli pensteril sedemikian bagi tujuan penyahjangkitan harus memilih hanya alat yang mempunyai ciri kejuruteraan keselamatan yang mengelakkan pengguna daripada terdedah kepada radiasi UVC.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Antara contoh termasuk sensor gerakan bagi lampu mudah alih, tiub dan meja, serta bal lampu yang secara automatik mematikan sumber UVC apabila seseorang menghampirinya, dan sensor graviti dalam alat pensteril UVC yang secara automatik mematikannya apabila alat menghadap ke atas demi melindungi mata pengguna.

Bagi kotak penyahjangkitan UVC, harus ada ciri yang mematikan lampu UVC apabila kotak dibuka.

NEA menasihatkan pengguna agar mengelakkan pendedahan kulit secara langsung kepada radiasi UVC dan jangan melihat terus ke sumber cahaya UVC.

Ia juga menggesa mereka yang sudah membeli alat pensteril UVC tanpa sebarang ciri keselamatan supaya berhenti menggunakannya dengan segera, terutamanya jika ia bertujuan bagi penggunaan pada kulit.