Topik diikuti
Pergi ke BHkuNTUC lanjut komitmen $2.1j sokong rakan kongsi SME
NTUC lanjut komitmen $2.1j sokong rakan kongsi SME
NTUC FairPrice melanjutkan komitmennya untuk menyokong rakan kongsi perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan selama setahun lagi melalui Program Pembangunan dan Sokongan Pembekal SME (SSDP) yang dianggarkan bernilai $2.1 juta.
Demikian diumumkan di pelancaran Pameran 'Dibuat di Singapura' FairPrice yang ke-11 kelmarin.
Inisiatif tahunan itu meningkatkan kesedaran tentang pengeluar tempatan dan barangan yang dikeluarkan secara tempatan.
Ia diadakan di pasar raya FairPrice di Our Tampines Hub dan dihadiri Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Diperkenalkan pada 2009, SSDP bertujuan membantu rakan kongsi SME FairPrice mengatasi cabaran penstrukturan semula dan mengharungi krisis kewangan global.
Program itu dikembalikan pada 2012 semasa kemerosotan ekonomi dan sejak itu telah ditawarkan setiap tahun untuk memberi manfaat kepada lebih 500 SME.
Sejauh ini, FairPrice telah melabur lebih $15 juta dalam inisiatif itu.
Di bawah SSDP, rakan kongsi yang mengambil bahagian dapat menikmati pelbagai manfaat yang direka untuk meningkatkan keupayaan dan pertumbuhan perniagaan mereka.
Ini termasuk syarat pembayaran yang dipercepatkan untuk mengurangkan cabaran aliran tunai, diskaun untuk yuran penyenaraian dan pemprosesan bagi produk baru serta pertimbangan khas untuk dimasukkan ke dalam program jenama rumah FairPrice.
Timbalan Pengerusi Kumpulan FairPrice, Encik Seah Kian Peng, dalam ucapannya di acara kelmarin berkata:
"Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh SME, yang hanya menjadi lebih sukar dengan pandemik Covid-19 dan iklim ekonomi semasa di mana kami menghadapi inflasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Oleh itu, sejak 2020, kami telah menggandakan pelaburan tahunan kami daripada lebih $1 juta kepada lebih $2 juta.
"Tahun ini, kami mengikrarkan $2.1 juta lagi kepada program itu untuk menyokong lebih 500 SME."
Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Runcit, Kumpulan FairPrice, Cik Elaine Heng, berkata Inisiatif FairPrice seperti SSDP berusaha untuk membantu SME menghadapi kenaikan kos perniagaan dan mempertingkatkan keupayaan perniagaan mereka.
"Melengkapi matlamat makanan 30 menjelang 30 Singapura, kami akan meneruskan inisiatif untuk menyokong SME tempatan sedang kami meningkatkan keselamatan dan daya tahan makanan kita.
"Kami menggalakkan pelanggan kami untuk menyertai kami dalam menyokong (perusahaan) tempatan, dan membina masa depan makanan yang mampan bersama-sama," katanya.
"Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh SME, yang hanya menjadi lebih sukar dengan pandemik Covid-19 dan iklim ekonomi semasa di mana kami menghadapi inflasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini." - Timbalan Pengerusi Kumpulan FairPrice, Encik Seah Kian Peng.