Topik diikuti
Pergi ke BHkuOperasi restoran terjejas dek kurang pekerja
Operasi restoran terjejas dek kurang pekerja
Walaupun gembira dengan peningkatan jumlah pelanggan yang menjamu selera dengan beberapa sekatan dilonggarkan, pemilik F&B kini berdepan dengan satu lagi cabaran. Dengan tenaga kerja yang minimum akibat wabak itu, BERITA HARIAN melihat bagaimana perniagaan-perniagaan ini berusaha untuk terus memberikan perkhidmatan yang baik bagi pelanggan mereka. Ikuti laporan ini.
SEBELUM pandemik berlaku, restoran-restoran Encik Ali Abbas beroperasi dengan lancar dengan lebih daripada 200 kakitangan yang memegang pelbagai peranan.
Namun apabila Covid-19 melanda Singapura, Encik Ali, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singapore Hospitality Group, terjejas apabila 15 peratus kakitangannya berhenti kerja.
Mereka yang terus kekal bekerja pula terpaksa memainkan pelbagai peranan untuk memastikan operasi dapat terus berjalan dengan lancar.
Dengan keadaan semakin pulih dan kumpulan lebih besar dibenarkan menjamu selera bersama, Encik Ali, yang memiliki tujuh buah rangkaian restoran bufet halal serta ruang dewan, berkata operasi mereka terkesan dengan pekerja yang berkurangan.
Namun begitu, dengan pembukaan semula sempadan Singapura baru-baru ini, beliau berharap dapat meningkatkan jumlah kakitangannya menjelang akhir tahun ini.
Katanya, pembukaan sempadan antara Singapura dengan Malaysia baru-baru ini telah membolehkan empat kakitangannya kembali ke Singapura untuk bekerja.
"Mereka secara perlahan-lahan sedang melakukan perancangan mahu kembali untuk bekerja bersama kami lagi.
"Dalam masa akan datang kami berharap dapat mengambil seramai 20 lagi kakitangan untuk menyokong operasi dengan kelonjakan jumlah pelanggan yang kami jangkakan," jelas beliau sambil menambah bahawa beliau memerlukan cef, kakitangan dapur serta kakitangan operasi.
Sebelum ini, Encik Ali berkata beliau mempunyai kakitangan daripada 13 negara seperti India, Philippines, Taiwan dan Timur Tengah yang membentuk sebahagian besar jumlah kakitangannya.
Encik Ali berkata 30 peratus kakitangannya adalah warga tempatan.
"Memang kita mempunyai kakitangan tempatan.
"Tetapi saya rasa ia masih tidak mencukupi untuk mengendali operasi di semua restoran bufet dan ruang dewan kami," ujarnya, yang mengurus restoran bufet The Landmark dan Royal Palm Meat & Dine di Village Hotel Bugis, Royal Palm Orchid Country Club dan Red Velvet Ballroom @ Village Hotel Bugis.
Meskipun berdepan cabaran baru, Encik Ali tetap bersikap positif memandangkan lebih ramai orang dibenarkan menjamu selera bersama.
Katanya, tempahan di rangkaian restorannya telah meningkat sehingga 40 peratus dan slot tempahan hujung minggu ini sudah penuh.
Bagi minggu-minggu yang akan datang, Encik Ali berkata slot juga sudah hampir penuh.
"Kami menerima sambutan yang baik beberapa hari yang lalu dan kami ghairah mahu terus berkhidmat," katanya, sambil menambah bahawa pernigaan meningkat sebanyak 80 peratus berbanding pada 2019.
"Sekarang, saya rasa kita tidak ada pilihan lain tetapi perlu terus hidup dengan virus ini dan ikut keadaan dan terus menyesuaikan diri.
"Sehingga kini, saya gembira dapat melihat keadaan kini mula pulih dan nampak cahaya di hujung terowong," tambahnya.