Topic followed successfully
Go to BHkuPakar gesa jumpa doktor jika sakit, sedang Covid-19 dalam masyarakat bertambah semula
Pakar gesa jumpa doktor jika sakit, sedang Covid-19 dalam masyarakat bertambah semula
Pakar gesa jumpa doktor jika sakit, sedang Covid-19 dalam masyarakat bertambah semula
DENGAN kes Covid-19 dalam masyarakat meningkat semula, pakar perubatan menggesa mereka yang kurang sihat dan menunjukkan simptom flu supaya berjumpa doktor segera bagi mencegah penularan koronavirus itu.
Mereka turut menekankan pentingnya masyarakat kekal berwaspada dan tidak mula bersikap sambil lewa, meskipun Singapura sekarang giat melaksana program vaksinasi.
Peringatan itu diberikan sedang jumlah kes Covid-19 dalam masyarakat meningkat sejak beberapa hari lalu, dan Menteri Pendidikan Lawrence Wong, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak bagi menangani Covid-19, berkata langkah tambahan sedang dipertimbangkan.
Seorang doktor keluarga, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, berkata seseorang yang dijangkiti Covid-19 mungkin tidak sedar yang dia telah dijangkiti kerana gejalanya sama seperti simptom flu biasa.
"Tanpa diuji dan diasingkan dari masyarakat, anda mungkin menjangkiti orang berdekatan anda.
"Jika anda tidak menggunakan aplikasi TraceTogether, anda akan menyebabkan penyebarannya kepada orang lain tanpa diketahui. Ini akan meningkatkan angka pesakit Covid-19 dan mungkin menyebabkan pemutus litar kedua," ujarnya.
Beliau menasihati sesiapa yang kurang sihat supaya berjumpa doktor segera untuk mengenal pasti penyakitnya dan mendapatkan rawatan tepat.
Seorang pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, pula berkata ada orang mungkin tidak mahu berjumpa doktor kerana stigma yang terkait dan keperluan menjalani ujian swab dan diberi sijil perubatan yang tidak membenarkan mereka keluar rumah.
Ada pula orang bekerja dari rumah berasa mereka tidak perlu berjumpa doktor kerana memang tidak perlu keluar rumah.
Dr Nurhidayati berkata orang-orang itu harus ingat bahawa mereka berjumpa ahli keluarga dalam rumah, dan sekiranya mereka dijangkiti Covid-19, ia akhirnya boleh menular juga kepada masyarakat.
"Singapura adalah negara yang penduduknya padat, jadi cara terbaik (mengurangkan risiko penularan) ialah dengan memakai pelitup dengan betul.
"Jika anda sakit, ambil sikap bertanggungjawab, dapatkan bantuan perubatan dan jangan keluar rumah hingga pulih," nasihatnya.
Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Raffles, Dr Abdul Razakjr Omar, berkata sikap terlebih yakin dan berpuas hati tidak mengejutkan kerana Singapura telah melakukan yang baik dalam mencegah jangkitan besar dalam masyarakat selama berbulan-bulan.
Namun, masyarakat harus terus mengamalkan tabiat seperti mencuci tangan, menjaga jarak sosial dan memakai pelitup. Beliau juga menasihati agar mengambil vaksin apabila peluangnya tiba.
Dalam hal ini, Dr Zuraimi menggesa mereka yang layak mendapat vaksin jangan berlengah-lengah kerana ia membina daya tahan masyarakat terhadap Covid-19, sekali gus membendung penularannya.
Seorang pakar penyakit berjangkit, Dr Leong Hoe Nam, berkata penduduk Singapura mungkin sekarang terlalu berpuas hati, terutamanya disebabkan keletihan Covid-19 memandangkan pandemik itu melanda negara ini sejak awal tahun lalu.
Singapura telah memenangi peperangan baru-baru ini setelah berdepan gelombang jangkitan di dormitori pekerja asing, namun peperangan ini masih jauh dari garisan penamat, kata Dr Leong.
Beliau juga menekankan kepentingan memakai pelitup dan mengingatkan bahawa setiap orang boleh memainkan peranan dalam pencegahan Covid-19.
"Kita boleh lawan (virus) ini. Bukan secara individu tetapi bersatu sebagai sebuah rakyat. Kita boleh lawan virus ini dan membunuhnya," tekan Dr Leong.
"Tanpa diuji dan diasingkan dari masyarakat, anda mungkin menjangkiti orang berdekatan anda. Jika anda tidak menggunakan aplikasi TraceTogether, anda akan menyebabkan penyebarannya kepada orang lain tanpa diketahui. Ini akan meningkatkan angka pesakit Covid-19 dan mungkin menyebabkan pemutus litar kedua." - Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, doktor keluarga.
"Singapura adalah negara yang padat penduduknya, jadi cara terbaik (mengurangkan risiko penularan) ialah dengan memakai pelitup dengan betul. Jika anda sakit, ambil sikap bertanggungjawab, dapatkan bantuan perubatan dan jangan keluar rumah hingga pulih." - Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, pakar perbidanan dan sakit puan.
"Kita boleh lawan (virus) ini. Bukan secara individu tetapi bersatu sebagai sebuah rakyat. Kita boleh lawan virus ini dan membunuhnya." - Dr Leong Hoe Nam, pakar penyakit berjangkit.

