PENJUALAN dan penyembelihan haiwan yang masih hidup seperti kura-kura chengkerang lembut di pasar basah kini sedang dikaji semula oleh pihak berkuasa dalam usaha mempertingkatkan taraf keselamatan setempat.
Menteri Negara Kanan (Kementerian Sekitaran dan Sumber Air), Cik Amy Khor berkata sewaktu di Parlimen pada Selasa (5 Mei) bahawa kementerian beliau akan memberitahu keputusan semakan itu apabila ia sudah disiapkan, lapor The Straits Times (ST).
Dr Khor berkata demikian sambil menjawab soalan Encik Louis Ng (Nee Soon GRC) sama ada kementerian itu akan memperimbangkan cadangan untuk melarang amalan berkenaan.
Encik Ng memberitahu bahawa risiko ekoran penjualan dan penyembelihan kura-kura cengkerang lembut yang liar dan ditangkap itu di pasar basah, "hampir sama dengan perkara yang telah menyebabkan pandemik koronavirus ini."
Beliau sedang merujuk kepada hubungan antara virus Covid-19 dengan sebuah pasar makanan laut di Wuhan, China yang menjual haiwan yang sudah mati dan yang masih hidup seperti kelawar, musang dan ular sebagai makanan dan turut disyaki sebagai punca virus itu.
Encik Ng berkata, kura-kura itu ditangkap di kawasan liar di luar negara. Disebabkan itu, tiada orang yang mempunyai pengetahuan mengenai penyakit-penyakit yang dibawa haiwan tersebut sedang ia dibawa ke dalam negara dan dijual di pasar setempat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg