PASANGAN yang telah mencederakan anak lelaki mereka sehingga meninggal dunia pada 2016 telah dibebaskan dari dakwaan membunuh dengan niat yang sama.
Mahkamah Tinggi pada Jumaat (3 April) mengarah pihak pendakwa agar memfailkan tuduhan alternatif.
Pada awalnya, Azlin Arujunah dan suaminya, Ridzuan Mega Abdul Rahman, kededuanya berusia 27 tahun, didakwa membunuh anak lelaki mereka itu, lapor The Straits Times (ST).
Jika mereka disabit kesalahan tersebut, mereka akan dijatuhkan hukuman mati.
Hakim Cik Valerie Thean, pada Jumaat, meminta pihak pendakwa memfailkan dakwaan alternatif kerana kedua-dua tertuduh telah menyebabkan lecuran teruk ke atas mangsa berusia lima tahun itu dengan menyimbah air panas kepadanya.
Beliau mendapati bahawa tiada bukti yang mencukupi bagi mengesahkan bahawa pasangan itu mempunyai niat untuk mencederakan anak mereka hingga menyebabkan kematian.
Bukti tersebut merupakan sesuatu yang penting bagi menjatuhkan hukuman atas tuduhan membunuh pada awalnya itu.
Namun, pasangan itu tetap didakwa melakukan penganiayaan lain seperti meletakkan anak mereka di dalam kandang yang digunakan untuk memelihara kucing mereka, mencubit anak itu dengan playar dan memukulnya dengan penyapu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg