Setelah baru sahaja menimang cahaya mata sulung mereka tiga minggu lalu, Encik Amirulazhari Ahmad Reza, 24 tahun, dan isterinya, Cik Nadia Nuraisha Mohamed Nasir, 23 tahun, tidak sabar pula mendapat kunci flat pertama mereka menjelang akhir 2024 ini.
Pasangan itu, yang kini menetap di sebuah flat sewa awam di Sengkang di bawah Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) sejak Julai, berharap dapat berpindah masuk ke flat baru mereka di Yishun sebelum Hari Raya Aidilfitri pada Mac 2025.
Encik Amirulazhari dan Cik Nadia telah memohon sebuah flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Februari 2022, dan bakal mendapat kunci rumah mereka pada Disember 2024 – kurang daripada tiga tahun sejak permohonan mereka.
Pasangan suami isteri ini adalah antara beberapa keluarga yang berjaya membeli flat BTO dengan masa menunggu lebih singkat – kurang daripada tiga tahun – yang ditawarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
“Alhamdulillah, kami amat gembira dan tidak sabar untuk mengambil kunci rumah tidak lama lagi dan kami juga bersyukur masa menunggu untuk flat pertama kami kurang daripada tiga tahun.
“Sebelum ini, kami lihat flat-flat BTO mengambil masa kira-kira tiga atau empat tahun. Ada rakan-rakan saya yang beli flat BTO sebelum saya dan mereka masih menunggu untuk mendapat kunci flat mereka.
“Jadi, saya amat bersyukur dan harap dengan semua kerja ubahsuai yang bakal dijalankan nanti, kami dapat berpindah dan sambut Hari Raya Aidilfitri pada 2025 di rumah baru kami,” kata Encik Amirulazhari ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Pada 2023, HDB menyatakan bahawa ia komited melancarkan antara 2,000 hingga 3,000 flat dengan masa menunggu lebih singkat iaitu kurang daripada tiga tahun menjelang 2025.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan HDB pada 6 Oktober, ia kini dalam sasaran untuk melaksanakannya setahun sebelum dijadualkan menerusi jualan flat BTO yang bakal dilancarkan pada Oktober.
Encik Amirulazhari telah memilih untuk memohon sebuah flat BTO empat bilik di Grove Spring @ Yishun pada Februari 2022 kerana ia berdekatan dengan rumah ibu bapanya serta mempunyai masa menunggu lebih singkat.
Beliau dan isteri telah memohon di bawah Skim Tunang serta Skim Keutamaan Anak Sudah Berumah Tangga (MCPS) yang memberikan keutamaan bagi mereka untuk memilih flat mereka.
“Kami pilih Yishun kerana ia berdekatan dengan rumah ibu bapa saya dan kami memang suka berkumpul sesama keluarga, lagi-lagi bersama sepupu di sebelah isteri yang memang mesra.
“Dengan rumah baru kami dan juga dengan kelahiran anak kami ini, saya rasa kami juga akan mendapat sistem sokongan yang baik daripada keluarga kami,” kata Encik Amirulazhari.
Beliau menambah dirinya dan isteri juga sedang merancang untuk mempunyai seorang lagi anak setelah mereka berpindah ke rumah baru kelak meskipun tidak tergesa-gesa. – ANWAR SALEH


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg