Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai polis dijel lebih 6 tahun kerana terima rasuah, halang tangkapan

Aug 16, 2024 | 7:42 PM
Pada 16 Ogos, Poo Tze Chiang, 47 tahun, yang digantung tugas pada Disember 2020, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam bulan, serta diarah membayar denda $32,500.
Pada 16 Ogos, Poo Tze Chiang, 47 tahun, yang digantung tugas pada Disember 2020, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam bulan, serta diarah membayar denda $32,500. - Foto ST

Seorang Inspektor Balai (SI) yang berkhidmat dengan Cawangan Kongsi Gelap (SSB) Pasukan Polis Singapura (SPF) menanggung beban hutang apabila dia berulang kali membantu dua lelaki mengelak daripada ditangkap.

Pegawai polis itu turut menerima rasuah $32,500 daripada kededua lelaki itu.

Pada 16 Ogos, Poo Tze Chiang, 47 tahun, yang digantung tugas pada Disember 2020, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam bulan serta diarah membayar denda $32,500. Dia akan menghabiskan masa lagi 14 minggu di penjara jika dia tidak dapat membayar denda itu.

Poo disabitkan dengan tujuh tuduhan rasuah dan tiga tuduhan menghalang proses keadilan, selepas satu perbicaraan, lapor The Straits Times (ST).

Timbalan pendakwa raya David Menon dan Bryan Wong menyatakan dalam dokumen mahkamah bahawa dalam tempoh setahun, Poo menerima beberapa rasuah daripada Encik Cordell Chan dan Encik Wang Huate.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan sama ada Encik Chan akan atau telah didakwa di mahkamah.

Namun, Encik Wang, yang ketika itu berusia 41 tahun, telah dibebaskan.

Ini setelah tuduhan terhadapnya ditarik balik selepas beliau menerima amaran keras.

Pada September 2023, lelaki keempat dikenali sebagai Ng Chuan Seng, yang ketika itu berusia 52 tahun, dijatuhi hukuman penjara lima minggu selepas dia mengaku bersalah atas satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

Dalam hujahannya, pihak pendakwaan berkata bahawa Encik Chan dan Encik Wang berada di sebuah kelab malam di Orchard Road bersama beberapa rakan pada awal pagi 14 September 2019, apabila mereka terlibat dalam satu pergaduhan dengan pelanggan lain.

Polis tiba di tempat kejadian dan Encik Wang ditangkap selepas beliau yang berada dalam keadaan mabuk, mencabar seorang pegawai polis kerana menangkap seorang rakannya.

Encik Wang telah dibawa ke Divisyen Polis Tanglin dan dibebaskan pada pagi itu. Polis tidak menangkap Encik Chan.

Beberapa hari kemudian, Encik Chan, rakan Encik Wang, yang bimbang polis akan mengambil tindakan ke atas mereka kerana terlibat dalam pergaduhan, mendapatkan bantuan daripada Ng.

Ng mengatur rancangan buat Encik Chan dan Encik Wang untuk bertemu Poo di KTV milik Ng di Geylang Road.

Dia turut menyarankan dua lelaki itu agar memberikan “paket merah” kepada Poo kerana membantu “menghuraikan” insiden pergaduhan tersebut, menurut CPIB.

Encik Chan dan Encik Wang seterusnya memberi Poo satu paket merah mengandungi wang tunai $2,000 dalam pertemuan mereka.

Pada Februari 2020, Encik Wang direman polis bagi siasatan lanjut. Sebaik sahaja beliau dibebaskan, Encik Wang menghubungi Encik Chan untuk mendapatkan bantuan Poo dalam menangani siasatan polis.

Antara lain, Poo meminta $20,000 bagi bantuan yang dihulurkan.

Ketiga-tiga lelaki terbabit bertemu di satu tempat letak kereta di Hillview Rise di mana wang tunai diserahkan dalam beg plastik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg