MENTERI Perhubungan dan Penerangan S. Iswaran, memberi jaminan bahawa pekerja asing yang dijangkiti Covid-19 akan diberi penjagaan perubatan bermutu yang sama dengan warga Singapura dan ia akan dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah.
Beliau menyatakan demikian dalam rakaman pesanan dalam bahasa Tamil untuk pekerja asing yang dikongsi melalui WhatsApp dan saluran YouTube Gov.sg pada Selasa (5 Mei).
Dalam pesanan itu, beliau menjelaskan sebab pekerja asing perlu menjalani ujian Covid-19. "Kami melakukan ujian untuk mengesahkan siapa yang dijangkiti. Jika diuji positif, kami akan memberi mereka penjagaan perubatan yang diperlukan yang dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah. Kami akan memberi anda penjagaan perubatan bermutu yang diperlukan sama seperti yang kami lakukan bagi warga Singapura. Inilah janji kami," katanya. Beliau juga menerangkan sebab pemutus rantaian jangkitan, yang bermula pada 7 April, akan dilanjutkan bagi empat minggu lagi sehingga 1 Jun. Encik Iswaran mengingatkan pekerja asing agar terus mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup, menjaga kebersihan tangan dan memastikan jarak selamat. Beliau turut berpesan kepada mereka agar duduk di dalam bilik atau rumah masing-masing dan menekankan bahawa semua orang, termasuk pekerja asing, perlu bekerjasama supaya cabaran Covid-19 dapat ditangani dengan berjaya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg