SEORANG pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara satu tahun pada Isnin bagi kesalahan melibatkan kematian seorang penunggang basikal dalam satu kemalangan, dan berniat menjejas proses keadilan dalam kes tersebut.

Warga India Udaiyappan Vasanth gagal memberi laluan kepada penunggang basikal tersebut, Encik Abdul Aziz Syed Mohamed, 64 tahun, yang waktu itu sedang melintas di lintasan zebra.

Penunggang basikal itu kemudian meninggal dunia di hospital pada 16 April 2022.

Udaiyappan, yang merupakan pemandu lori itu, pada mulanya meyakinkan rakan sekerjanya, Rajendhiran Chelladurai, seorang lagi warga India, untuk bertanggungjawab atas kesalahan itu.

Namun, kededua lelaki itu memutuskan untuk menyatakan perkara yang sebenar apabila mereka mendapat tahu kemudian bahawa Encik Abdul Aziz terbunuh dalam nahas itu.

Pada Isnin, Udaiyappan, 25 tahun, dijatuhi hukuman penjara setahun selepas dia mengaku bersalah terhadap satu tuduhan menyebabkan kematian dengan memandu tanpa pertimbangan munasabah kepada pengguna jalan raya lain, dan satu tuduhan berniat untuk menjejas proses keadilan.

Dia juga tidak dibenarkan untuk memegang atau mendapatkan mana-mana kelas lesen memandu selama lapan tahun dari tarikh dibebaskan.

Rajendhiran, 28 tahun, pula sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tiga bulan pada April.

Udaiyappan mempunyai lesen memandu tetapi waktu itu berada di bawah tempoh percubaan selama setahun.

Sejurus sebelum kemalangan itu, dia sedang memandu di Jalan Eunos sekitar 5 petang pada 16 April 2022 apabila dia menghampiri jalan susur ke PIE menghala ke Tuas. Rajendhiran sedang duduk di kerusi penumpang hadapan ketika itu.

Udaiyappan memandu ke arah lintasan zebra pada kelajuan sekitar 40 kilometer sejam apabila dia melihat Encik Abdul Aziz berbasikal melintasinya.

Dia gagal memberi laluan kepada penunggang basikal itu dan lori itu melanggar Encik Abdul Aziz, menyebabkannya tercampak 7 meter dari tempat kejadian.