MENTERI Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menggesa semua pekerja di Singapura, termasuk pemandu teksi dan kereta sewa, mempertingkatkan diri dalam ekonomi masa kini agar dapat berdaya tahan mengharungi pandemik Covid-19.
Beliau turut menggalak mereka merebut peluang yang ada, termasuk yang ditawarkan di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited (SGUJS).
Demikian yang disampaikan Dr Faishal dalam satu sesi dialog tertutup di alam maya bersama pemandu teksi anjuran Berita Harian semalam.
Seramai lapan pemandu teksi meluahkan keprihatinan, pandangan serta mengemukakan saranan mereka dalam melalui cabaran semasa kini.
Walaupun fasa kedua membuat lebih ramai pemandu teksi berasa 'lega' dengan lebih ramai orang mula keluar, namun keperitan situasi pandemik Covid-19 masih dirasakan.
Ini terutama sekali apabila jumlah pelanggan yang menaiki teksi masih kurang berbanding sebelumya, terutama sekali dengan banyak tempat hiburan seperti kelab malam masih tutup.
Tambahan lagi, bayaran sewa yang kini perlu dibayar juga menambah kepada tekanan yang dirasakan kesemua pemandu.
Isu bayaran tempat letak kereta turut diketengahkan, dan Dr Faishal telah mengajukan perkara tersebut serta-merta kepada pihak tertentu.
Beliau juga akan mengumpulkan semua maklum balas daripada pemandu teksi untuk diberikan kepada pihak berkepentingan.
Selain itu, sempadan yang masih ditutup turut merupakan salah satu keprihatinan yang diketengahkan, memandangkan kebanyakan penumpang teksi terdiri daripada pelancong dan pengunjung luar negara.
Ada juga yang menyatakan bahawa ramai dalam kalangan pemandu teksi terpaksa bekerja sambilan, antaranya sebagai tukang gunting rambut dan pegawai keselamatan.
Selain itu, pemandu teksi yang sudah lanjut usia turut mengusulkan untuk meningkatkan usia persaraan pemandu teksi.
Mereka juga telah menyuarakan kesediaan mereka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun selepas usia persaraan bagi memastikan keselamatan penumpang.
Dr Faishal turut berkata beliau kagum dengan pemandu teksi yang menunjukkan semangat kental dalam mengharungi cabaran sekarang dengan ada di antara mereka mengambil tempahan kuih supaya dapat meraih pendapatan tambahan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg