Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah tampung 50% kos bersihkan premis sah Covid-19

Apr 18, 2020 | 5:30 AM
-

MULAI 1 April lalu, pemilik dan pengurus premis dengan kes Covid-19 yang disahkan boleh memohon bantuan untuk membiayai sebahagian kos pembersihan dan penyahjangkitan.

Di bawah skim bantuan baru itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Enterprise Singapore (ESG) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) akan menampung 50 peratus kos pembersihan profesional pihak ketiga yang ditanggung pemilik dan pengurus premis itu, menurut kenyataan bersama tiga agensi itu semalam.

Ini menyusuli pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, pada 26 Mac lalu, bahawa pemerintah akan menampung bersama kos pembersihan profesional bagi perniagaan yang disahkan mempunyai kes Covid-19.

Menurut kenyataan itu, pemerintah akur bahawa bagi premis yang disahkan dengan kes Covid-19, mendapatkan khidmat profesional pihak ketiga bagi menjalankan penyahjangkitan merupakan kos agak tinggi dek proses serta produk kimia yang digunakan.

Skim bantuan itu akan memberi subsidi sehingga 50 peratus kos pembersihan dan penyahjangkitan, sehingga $3,000, dan berkuatkuasa dari 1 April hingga 31 Disember ini.

Bagi premis berkaitan pelancongan pula, yang rata-rata ruangnya lebih besar daripada purata unit perumahan atau komersial, batasan lebih tinggi sehingga $20,000 akan diberikan.

Pemohon harus menyerahkan tuntutan mereka bersama dokumen sokongan bagi tujuan pengesahan kepada agensi yang berkenaan.

Kenyataan itu menambah bahawa sejak bulan lalu, agensi pemerintah telah juga menampung 100 peratus yuran pensijilan bagi petanda mutu SG Clean, dan akan terus memberi pengecualian yuran pensijilan itu kepada lebih 32,000 premis pada tahun ini.

Ini di samping meneruskan sokongan kepada proses pensijilan semula pada tahun depan secara percuma kepada premis yang memelihara piawaian kebersihan dan kesihatan yang baik.

Pada masa sama, syarikat yang memohon bagi Geran Huraian Produktiviti (PSG) bagi khidmat sekitaran peralatan akan menerima sokongan yang dipertingkat sehingga 80 peratus kos kelayakan bagi peralatan, dibataskan sehingga $350,000 bagi setiap syarikat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg