KEMENTERIAN Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) sedang mengkaji langkah memenjarakan pesalah seks berbahaya sekurang-kurangnya lima tahun hingga 20 tahun.

Pesalah sedemikian hanya akan dibebaskan selepas dinilai tidak lagi menimbulkan ancaman kepada orang ramai, dan akan terus ditahan jika dinilai masih menimbulkan ancaman.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata di Parlimen semalam bahawa kementerian itu sedang menimbangkan memperkenal pilihan hukuman baru bagi melindungi orang ramai.

"Undang-undang memperuntukkan tindakan tegas diambil, dan tindakan tegas diambil terhadap pesalah seks. Pesalah seks berulang menerima hukuman lebih berat. Ini termasuk hukuman penjara lebih lama, dan hukuman di bawah rejim Latihan Pemulihan dan Penahanan Pencegahan."

Di bawah rejim itu, pesalah berulang boleh dipenjarakan lebih lama dari tempoh maksimum yang ditetapkan bagi kesalahan itu. Hukuman Latihan Pemulihan adalah antara lima hingga 14 tahun, manakala hukuman Tahanan Pencegahan antara tujuh hingga 20 tahun.

Pesalah berulang juga akan menjalani program pemulihan dan penyeliaan lebih lama, kata Encik Shanmugam.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar), yang bertanya apakah perlindungan yang ada khususnya bagi kanak-kanak dan wanita terhadap pesalah seks berulang, dan apakah MHA akan menimbangkan kaunseling dan pemantauan sepanjang hayat terhadap pesalah sedemikian.

Encik Shanmugam berkata maklum balas orang ramai mengenai saranan bagi pilihan hukuman baru itu didapatkan Julai tahun lalu, dan perkara ini masih dikaji.

"Saya telah meminta MHA dan MinLaw mengkaji pilihan hukuman baru, satu pendekatan agak baru, untuk memberi lebih perlindungan kepada orang ramai daripada pesalah kali pertama berbahaya serta pesalah berulang yang melakukan kecederaan sangat serius dan kesalahan seksual," katanya.

Di bawah pilihan hukuman yang disarankan, pesalah akan dinilai selepas menjalani hukuman tetapi tidak akan dibebaskan secara automatik. Sekiranya didapati terus menimbulkan ancaman, mereka akan terus ditahan.

Encik Shanmugam berkata apabila seseorang melakukan kesalahan serius dan keji seperti merogol kanak-kanak kecil, hakim mungkin menjatuhkan hukuman berat, tetapi tidak tahu apakah pesalah itu akan kekal sebagai ancaman kepada masyarakat walaupun selepas menjalani hukuman itu.

Dalam beberapa kes, pesalah sebegitu melakukan lagi kesalahan serius sehari selepas dibebaskan, dan walaupun ini bukan perkara biasa, terdapat satu atau dua kes sedemikian di sini.

Encik Shanmugam berkata pesalah yang melakukan kesalahan seksual serius juga boleh diletak dalam Skim Penjagaan Luar Penjara (Aftercare) Mandatori, yang menyediakan sokongan masyarakat yang dipertingkat, serta kaunseling dan pengurusan kes.

Di bawah skim itu, bekas banduan berisiko lebih tinggi melakukan kesalahan semula atau memerlukan lebih banyak sokongan penyepaduan semula juga menerima pengawasan sehingga dua tahun.

Encik Shanmugam juga berkata Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga kini bekerjasama rapat dengan polis bagi menyaring individu yang memohon bekerja bersama kanak-kanak, termasuk di prasekolah berlesen dan sekolah.

"Saya telah meminta MHA dan MinLaw mengkaji pilihan hukuman baru, satu pendekatan agak baru, untuk memberi lebih perlindungan kepada orang ramai daripada pesalah kali pertama berbahaya serta pesalah berulang yang melakukan kecederaan sangat serius dan kesalahan seksual." - Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.