APABILA Encik Mohamed Rosli yang menghidapi demensia awal berada di kawasan sesak seperti pusat pertukaran bas dan stesen mrt, kesesakan itu kadangkala mengelirukan.

Ia juga menjejas keupayaannya untuk mengingati hala tujunya.

Namun begitu, ketika berjalan di Pusat Pertukaran Bas Toa Payoh semalam, pesara berusia 58 tahun itu mendapati ia lebih mudah untuk menavigasi tempat yang luas itu melalui inisiatif "Cari Jalan Anda" (Find Your Way).

Melalui kerjasama SBS Transit dan Demensia Singapura, inisiatif baru itu, yang dilancarkan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Encik Chee Hong Tat semalam, bertujuan membolehkan warga emas dan mereka yang menghidapi demensia mencari jalan laluan mereka di pusat pertukaran bas dan stesen MRT dengan lebih mudah.

Beberapa pelekat besar pelbagai warna dilekatkan di lantai bagi menunjukkan arah dan nombor bas.

Di Pusat Pertukaran Bas Toa Payoh, imej permainan lama seperti batu serembat, guli dan capteh digunakan bagi lima zon yang berbeza.

Ditemui semalam, Encik Rosli, yang lebih mesra dengan nama Anjang, berkata inisiatif baru itu akan membolehkannya mencari jalan dengan lebih mudah dan selamat.

"Berada di pusat pertukaran bas yang besar kadangkala agak mengelirukan saya. Tetapi, dengan adanya pelekat besar yang berlainan warna, ia membolehkan saya mengikutinya dengan mudah tanpa rasa keliru dan gelisah," katanya, yang tinggal di Woodlands.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti