SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Penduduk blok terjejas di Yishun, Hougang jalani swab Covid-19

Penduduk blok terjejas di Yishun, Hougang jalani swab Covid-19

Jun 2, 2021 | 5:30 AM

Penduduk blok terjejas di Yishun, Hougang jalani swab Covid-19

JALANI UJIAN SWAB: Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), berinteraksi dengan Cik Sokdah Sidang (berkerusi roda) yang turut menjalani ujian swab wajib bersama semua penduduk di Blok 745, Yishun Street 72 semalam bagi membendung penularan Covid-19. Cik Sokdah ditemani anaknya, Encik Zaki Isaac Ahmad (baju-T putih). - Foto BH oleh DESMOND FOO
JALANI UJIAN SWAB: Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), berinteraksi dengan Cik Sokdah Sidang (berkerusi roda) yang turut menjalani ujian swab wajib bersama semua penduduk di Blok 745, Yishun Street 72 semalam bagi membendung penularan Covid-19. Cik Sokdah ditemani anaknya, Encik Zaki Isaac Ahmad (baju-T putih). - Foto BH oleh DESMOND FOO -

WALAUPUN terpaksa berkerusi roda akibat terjatuh sehingga menyebabkan tangan dan kaki kirinya retak, Cik Sokdah Sidang, 76 tahun, tetap menggagahkan diri untuk menjalani ujian swab Covid-19 semalam.

Bagi membantunya, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) dan Anggota Parlimen (GRC Nee Soon), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengaturkan dan menghantar paramedik untuk membantu beliau turun ke kolong blok.

Cik Sokdah merupakan antara sekitar 400 penduduk di Blok 745, Yishun Street 72 yang wajib menjalani ujian swab percuma semalam dan hari ini setelah terdapat enam kes positif Covid-19 di blok tersebut.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), semua penduduk di blok tersebut telah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) kelmarin dan diberikan slot masa untuk menjalani ujian swab semalam dan hari ini dari 9 pagi hingga 4 petang.

Suami Cik Sokdah, Encik Ahmad Md Derus, 83 tahun, yang tiba dengan menaiki alat mobiliti peribadi (PMD), memberitahu Dr Faishal bahawa isterinya di rumah memerlukan bantuan untuk turun menjalani swab kerana tulang tangan dan kaki kirinya retak akibat terjatuh bulan lepas.

Justeru Dr Faishal menghantar paramedik untuk membantu Encik Ahmad dan anaknya, Encik Zaki Isaac, 50 tahun.

Ditemui semalam selepas menjalani ujian, Cik Sokdah berkata: "Rasa pedih sedikit tetapi selepas itu saya tidak rasa apa-apa.''

Encik Zaki, anak bongsu tiga beradik itu mengakui terkejut mendengar berita adanya kes Covid-19 di blok tersebut namun beliau memahami keperluan menjalani ujian itu.

Dr Faishal terkesan melihat penduduknya yang tenang selepas mendapat tahu akan berita tersebut.

"Mereka tahu bahawa ini adalah pendekatan yang harus dilaksanakan dan setiap orang harus memainkan peranan.

"Dari Nee Soon Central, kami memberikan sokongan, motivasi, keprihatinan dan memastikan bahawa mereka tahu kami ingin menjaga keselamatan mereka.

"Di sini, kami telah membangunkan masyarakat yang bersatu padu. Ketika berdepan dengan krisis seperti ini, penduduk tampil untuk membantu sesama dan itu sambutan yang sangat menggalakkan pada saya," ujar beliau, yang tiba di kolong blok itu seawal 8.40 pagi semalam.

Dr Faishal menambah bahawa orang luar yang telah berkunjung ke blok itu pada tempoh berjangkit iaitu dari 15 hingga 24 Mei, boleh datang untuk menjalani ujian swab sebagai langkah keselamatan.

Sementara itu, bagi Cik Fauziah Omar, 66 tahun, beliau juga terperanjat mendengar berita kes positif Covid-19 di bloknya itu.

"Saya rasa takut juga selepas mendapat tahu kerana tidak pasti kalau terjangkit atau tidak.

"Memandangkan ini kali pertama saya jalani ujian swab, tak rasa sakit tetapi geli dan terkebil-kebil mata selepas itu. Ni tunggu result pun takut juga tetapi insya-Allah tak ada apa-apa," kongsinya, yang tiba bersama pembantunya pagi semalam.

Seorang lagi, Encik Abdul Jalil Bakar, 55 tahun, juga menjalani ujian swab walaupun beliau bukan penduduk di blok tersebut.

Menurut penduduk Hougang itu, beliau telah mengunjungi bapa angkatnya di blok tersebut sempena Hari Raya.

"Apabila mendapat berita blok ni ada kes Covid-19, saya rasa bimbang juga sebab tak pasti kalau okay ke tidak.

"Jadi saya buat keputusan untuk jalani ujian swab untuk kepastian. Takut jugalah sebab ada yang ada virus tetapi nampak sihat sahaja.

"Tempat kerja juga menggalakkan saya pergi ujian swab ini agar saya rasa tenang dan tidak terfikir-fikir lagi," kata eksekutif automotif itu.

Sebelum ini, MOH telah menjalankan ujian swab di 58 isi rumah di Tampines, penduduk di Blok 506, Hougang Ave 8 dan penduduk serta pengunjung Blok 559, Pasir Ris St 51.

Sementara itu, penduduk dan pengunjung Blok 501 dan 507 Hougang Avenue 8 juga harus menjalani ujian swab wajib setelah ujian air sisa yang dilakukan mengesan cebisan virus Covid-19 di blok tersebut.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg