WARGA Singapura boleh mengambil pelitup muka lebih baik yang diberikan pemerintah mulai 26 Mei, kata Persatuan Rakyat (PA) pada Khamis (21 Mei).
Ini adalah kali ketiga pemerintah memberi pelitup kepada warga sejak penularan Covid-19 di sini.
Setiap warga boleh menunjukkan kad pengenalan untuk mengambil satu pelitup guna semula.
Pelitup akan diedarkan menerusi dua fasa.
Dari 26 Mei hingga 1 Jun, warga boleh mengambil pelitup daripada 109 kelab masyarakat dan 661 pusat jawatankuasa penduduk setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang.
Sementara itu, kesemua kelab masyarakat akan menyediakan mesin layan sendiri yang akan beroperasi selama 24 jam.
Bagi minggu kedua bermula 2 Jun hingga 14 Jun pula, tiada pengambilan dapat dilakukan di kaunter dan sebaliknya semua pelitup akan hanya dapat diambil melalui mesin layan diri yang beroperasi selama 24 jam.
Terdapat dua jenis saiz pelitup yang boleh diambil, iaitu saiz dewasa dan kanak-kanak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg