SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pengalaman pahit warga emas yang 'belanja' $2,400 untuk produk kecantikan

Pengalaman pahit warga emas yang 'belanja' $2,400 untuk produk kecantikan

Syarikat mohon maaf, kembalikan wang sepenuhnya
May 25, 2021 | 5:30 AM

Pengalaman pahit warga emas yang 'belanja' $2,400 untuk produk kecantikan

TERPERANJAT: Ibu Cik Nurhuda Halim berasa terperanjat setelah menyedari beliau telah berbelanja $2,400 untuk produk kecantikan walhal beliau tidak mengamalkan penggunaan produk sedemikian. - Foto NURHUDA HALIM
TERPERANJAT: Ibu Cik Nurhuda Halim berasa terperanjat setelah menyedari beliau telah berbelanja $2,400 untuk produk kecantikan walhal beliau tidak mengamalkan penggunaan produk sedemikian. - Foto NURHUDA HALIM -

IBUNYA telah ke pusat beli-belah Waterway Point di Punggol untuk mengeluarkan wang perayaan Hari Raya Aidilfitri tetapi akhirnya berbelanja $2,400 membeli beberapa produk penjagaan kulit.

Cik Nurhuda Halim, 23 tahun, terperanjat apabila mendapat tahu apa yang terjadi.

Menurut Cik Nurhuda, ibunya yang berusia 60 tahun itu tidak pernah menggunakan produk penjagaan kulit namun telah membuat empat pembayaran melalui kad Nets dalam dua jam di kedai Aqua Mineral apabila ditawarkan produk kecantikan oleh pekerja penjualan di sana.

"Ibu saya terperanjat dan tidak tahu apa yang berlaku. Semuanya bermula apabila dia berjalan lalu kedai tersebut," kata Cik Nurhuda kepada akhbar The New Paper (TNP) baru-baru ini.

"Beliau setuju untuk membeli satu produk yang berharga $180. Kemudian, dia disyorkan membeli lebih produk sehingga membayar $2,400," cerita mahasiswi itu.

Antara produk yang dibeli ibunya ialah serum bagi mengurangkan kedutan yang berharga $1,000 dan peralatan leher bernilai $1,199.

Cik Nurhuda kembali ke kedai Aqua Mineral pada 8 malam itu juga untuk mendapatkan bayaran balik untuk ibunya tetapi ia sudah tutup.

Beliau kemudian melaporkan kejadian itu kepada Persatuan Pengguna Singapura (Case).

Jurucakap Aqua Mineral berkata syarikatnya telah memberikan bayaran balik sepenuhnya pada 10 Mei, menurut TNP.

Beliau menambah, pelanggan telah membeli lebih daripada satu produk penjagaan kulit setelah meluahkan keprihatinan kulitnya dan disyorkan oleh pasukan perkhidmatan pelanggannya.

"Kami memahami bahawa pelanggan pada mulanya bersetuju dengan produk tersebut dan membelinya melalui Nets, namun ingin menerima bayaran balik setelah mempertimbangkan semula pembeliannya.

"Kami menghormati keputusannya dan meminta maaf dengan tulus atas pengalaman ini. Kami percaya bahawa perkhidmatan pelanggan sangat penting dan hubungan yang baik dengan pelanggan adalah kunci," tambah jurucakap itu.

Presiden Case, Encik Lim Biow Chuan telah menerima laporan Cik Nurhuda.

Beliau mendedahkan bahawa industri kecantikan secara konsisten adalah antara tiga industri yang sering menerima aduan pelanggan.

Menurutnya, Case telah menerima sebanyak 408 aduan penjualan secara tekanan tahun lalu dan 108 aduan bermula 1 Januari hingga 30 April tahun ini.

"Amalan ini tidak adil di bawah Akta Perlindungan Pengguna bagi penjual untuk memanfaatkan pelanggan dengan memberi tekanan atau pengaruh yang tidak sepatutnya untuk mendapatkan penjualan.

"Penjual juga tidak patut mengambil kesempatan terhadap pelanggan yang tidak dapat melindungi kepentingan diri sendiri," kata Encik Lim apabila dihubungi akhbar TNP.

Cik Nurhuda berkata beliau pernah mendengar kes seperti itu yang melibatkan warga tua sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Ibu saya terperanjat dan hancur luluh ketika sedar dia telah menghabiskan wang sebanyak itu untuk produk yang tidak diperlukan," jelas Cik Nurhuda.

Mereka berdua kini lega kerana mendapat bayaran balik dan sekarang sering mengingatkan ibunya untuk bertanya sesama keluarga sebelum membeli barangan mahal.

"Seseorang harus sentiasa berhati-hati jika berada dalam situasi seperti itu, dan telefonlah anggota keluarga atau seseorang yang mereka percayai," nasihatnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg