SEBUAH firma pengendali dormitori yang mengurung secara paksa 20 pekerja asing dalam sebuah bilik dikunci telah diberi amaran daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Majikan pekerja tersebut juga akan dilarang menggajikan pekerja asing baru sementara menunggu siasatan polis, kata MOM pada Jumaat (24 April).
MOM mendapat tahu tentang insiden itu menerusi kiriman Facebook oleh kumpulan pekerja asing Transient Workers Count Too (TWC2) pada Selasa, lapor The Straits Times.
TWC2 berkata ia telah menerima panggilan kecemasan mengenai pekerja yang dikunci dalam sebuah bilik di dormitori Joylicious di Tuas sejak 10.30 pagi pada hari sebelumnya.
Pekerja yang ingin keluar perlu memanggil pengawal keselamatan untuk membuka pintu tersebut.
Namun ini mengambil masa 30 minit.
"Ini tidak boleh diterima dan cara bahaya untuk melakukan sesuatu. Apa akan terjadi jika kebakaran berlaku di blok tersebut?" kata TWC2.
Para pekerja itu kemudian dipindahkan ke bilik lebih besar lengkap dengan kamar mandi tetapi pintu bilik tetap dikunci, ujar kumpulan tersebut.
Ia menambah polis tiba di tempat kejadian sekitar 8 malam sebelum pintu itu dibuka.
Siasatan mengesahkan pengendali dormitori terbabit telah mengurung pekerja tersebut pada Isnin dengan persetujuan majikan mereka.
"Alasan diberi oleh pengendali ialah untuk menghalang mereka daripada bergerak sana sini selepas kontak terdekat mereka disahkan positif Covid-19," kata MOM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg