Topic followed successfully
Go to BHkuPenjualan naik 30% bagi peniaga baju di TKC
Penjualan naik 30% bagi peniaga baju di TKC
Penjualan naik 30% bagi peniaga baju di TKC
KECERIAAN persiapan Hari Raya amat memberangsangkan bagi sebuah peruncit di Tanjong Katong Complex (TKC) pada Ramadan ini, namun sejurus sekatan Covid-19 diperketat baru-baru ini, perbezaan bilangan pelanggan amat jelas bagi mereka.
Menurut Cik Fatimah Yahya, 70 tahun, pemilik kedai I'z Fashion by Anisah Collection, kadar penjualan telah meningkat lebih 30 peratus berbanding tempoh sebelum Ramadan.
Beliau berkata produknya, termasuk stok baru dan lama laris dijual apabila kedai itu mengadakan promosi pada awal hingga pertengahan Ramadan ini.
"Sebelum ini, amat sepi di sini (TKC) kecuali apabila adanya majlis perkahwinan di sini," katanya merujuk kepada Orange Ballroom dan The Istana yang menyediakan ruang acara bagi walimah.
"Sekarang kami terharu dan amat bersyukur kerana kami dapat menyaksikan sendiri kemeriahan orang ramai yang datang ke kedai kami untuk membeli baju sempena perayaan Hari Raya," kata Cik Fatimah.
Cik Fatimah yang sudah berniaga sepanjang lebih tiga dekad di pusat beli-belah itu berkata kadar penjualan pada Ramadan ini amat memberangsangkan dan bekalan terakhir bagi penjualan bulan mulia sudah mula dijual.
Menurutnya, setiap bekalan itu mengandungi sekitar 400 helai baju.
Pada masa yang sama beliau juga memerhatikan golongan usia pembeli yang melanggani kedainya baru-baru ini juga tercampur, dan tidak hanya terhad kepada golongan pelanggan regulars di situ yang seringkali merupakan golongan lebih dewasa.
Cik Fatimah berkata pelanggan muda telah membeli-belah terlebih dahulu kerana mereka "khuatir sekiranya tiada saiz dan pilihan warna apabila sudah dekat dengan Hari Raya nanti."
"Tapi sekarang pun banyak jugalah pelanggan muda yang datang kemari, tidak hanya terhad kepada pelanggan dewasa," ujarnya ketika dihubungi.
Beliau dapat memerhatikan dengan jelas bahawa kini, pelanggan hanya membeli satu set baju buat keluarga mereka sahaja.
Tidak seperti dahulu yang mana mereka akan memberi beberapa helai setiap anggota keluarga.
"Mungkin ini disebabkan sekatan kunjungan Covid-19 yang masih berkat kuasa. Jadi satu set untuk hari pertama mungkin cukuplah untuk mereka," tambah Cik Fatimah.
Malah, apabila sekatan serupa Fasa Dua diumumkan Selasa lalu, dan akan berlangsung dari 8 hingga 30 Mei, Cik Fatimah terkesan melihat perbezaan bilangan pelanggan yang secara tiba-tiba merosot pada hari kemudian.
Beliau berkata dengan sekatan ini ia telah mewujudkan sedikit kerisauan baginya.
Kini orang ramai dihadkan kepada saiz perhimpunan seramai lima orang berbanding lapan sebelum ini dan setiap rumah hanya boleh menerima seramai lima pengunjung setiap hari.
"Sebelum ini, amat sepi di sini (TKC) kecuali apabila adanya majlis perkahwinan di sini," katanya merujuk kepada Orange Ballroom dan The Istana yang menyediakan ruang acara bagi walimah. Sekarang kami terharu dan amat bersyukur kerana kami dapat menyaksikan sendiri kemeriahan orang ramai yang datang ke kedai kami untuk membeli baju sempena perayaan Hari Raya." - Cik Fatimah Yahya.


