Topic followed successfully
Go to BHkuPensyarah politeknik lontar komen perkauman digantung dari tugas
Pensyarah politeknik lontar komen perkauman digantung dari tugas
Jurucakap Politeknik Ngee Ann mengesahkan lelaki tersebut merupakan anggota tenaga pengajarnya
Pensyarah politeknik lontar komen perkauman digantung dari tugas
LELAKI yang dituduh mendekati sepasang kekasih di Orchard Road pada Sabtu lalu dan melontarkan komen berbaur perkauman terhadap mereka telah digantung dari tugas mengajarnya di Politeknik Ngee Ann (NP).
Seorang jurucakap NP telah mengesahkan bahawa lelaki yang dituduh itu merupakan anggota tenaga pengajarnya, lapor The Straits Times (ST).
"Kami memandang serius masalah ini kerana kenyataan yang dibuat oleh individu itu sangat menyinggung perasaan, tidak sopan dan bertentangan dengan tatakelakuan kakitangan kami serta nilai kita sebagai sebuah masyarakat," kata jurucakap tersebut.
Difahamkan bahawa lelaki itu merupakan pensyarah kejuruteraan di NP.
Politeknik tersebut sedang menjalankan siasatan dalaman dan sedang mempertimbangkan tindakan sesuai yang patut diambil terhadap lelaki itu.
Sementara itu, polis mengatakan pada Ahad lalu bahawa seorang lelaki berusia 60 tahun sedang membantu dalam siasatan.
Dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini, seorang lelaki Cina dilihat mendekati sepasang kekasih yang berlainan bangsa sambil memberitahu mereka bahawa adalah suatu yang memalukan bagi seorang wanita Cina menjalin hubungan dengan seorang lelaki India.
Video tersebut dimuatnaik di Facebook pada pagi 6 Jun oleh Encik Dave Parkash, yang dituduh lelaki Cina itu sebagai "menjadikan gadis Cina itu mangsanya".
Video tersebut telah dikongsi lebih 17,000 kali dan beberapa anggota parlimen juga telah mengutuk lelaki Cina itu.
Encik Parkash, 26 tahun, berkata, beliau terkejut dengan insiden tersebut tetapi lega dengan sokongan besar daripada para netizen, sambil menambah segelintir daripada mereka juga telah membuat laporan polis bagi pasangan tersebut.
Encik Parkash menjelaskan bahawa beliau telah memuatnaik video tersebut ke Internet kerana merasa perlu meningkatkan kesedaran bahawa perkara sedemikian masih berlaku di Singapura.
Encik Parkash berada bersama temanitanya, Cik Jacqueline Ho, 27 tahun, pada Sabtu malam di Orchard Road apabila mereka didekati lelaki Cina itu.
Terkejut oleh kata-kata lelaki itu, Encik Parkash meminta penjelasan sambil Cik Ho merakam video sepanjang sembilan minit itu.
Beliau berharap dengan berkongsi video tersebut, orang ramai sedar bahawa memalukan orang berdasarkan bangsa dan warna kulit mereka bukan perkara yang boleh diterima.
"Kita tidak boleh membiasakan (perkauman sedemikian) dan tidak mengendahkannya, tetapi mesti berani dan menentangnya," kata Encik Parkash.
Encik Parkash yang berdarah kacukan India dan Filipino, dan temanitanya yang berdarah kacukan Cina dan Thai, sudah menjalin hubungan selama tujuh tahun.
"Kami memandang serius masalah ini kerana kenyataan yang dibuat oleh individu itu sangat menyinggung perasaan, tidak sopan dan bertentangan dengan tatakelakuan kakitangan kami serta nilai kita sebagai sebuah masyarakat." - Jurucakap Politeknik Ngee Ann.

