BAGI guru tajaka Cik Far'ain Jaafar, kisah yang diceritakan oleh rakan kerjanya berkenaan cabaran murid didiagnos penyakit kencing manis Jenis 1 sukar untuk diketepikan.

Penyakit itu, paling sering menjejas golongan kanak-kanak dan remaja.

Daripada lebih 700,000 pesakit kencing manis di sini, 5 hingga 10 peratus menghidap kencing manis jenis itu.

Justeru, menurut ibu dua anak berusia 34 tahun itu, adalah amat penting bagi orang ramai berdepan dan mengetahui lebih mendalam mengenainya.

Cik Far'ain bersama anak-anaknya, adalah antara lebih 300 hadirin semasa majlis pelancaran buku kanak-kanak bertajuk, Nama saya Adam. Saya Menghidap Kencing Manis Jenis 1.

Ia dilancarkan oleh Setiausaha Parlimen (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) semalam.

Cik Far'ain berharap menerusi acara itu, ia membolehkan orang ramai menghapuskan stigma yang dihadapi pesakit kencing manis Jenis 1 yang bermula pada usia muda.

"Dengan kita mengetahui lebih mendalam tentang penyakit ini, kita boleh mendidik anak-anak supaya mereka dapat mengenal pasti temanteman mereka yang mungkin menghidap penyakit itu," kata Cik Far'ain.

"Bukan sahaja itu, kita dapat mendidik anak-anak kita tentang apa yang mereka boleh lakukan untuk membantu pesakit tersebut pada saat mereka memerlukan seperti pemberian suntikan insulin dan sebagainya," tambah beliau.

Kencing manis Jenis 1 berlaku apabila tiada bekalan insulin yang mencukupi di dalam badan dan ia sering menjejas golongan muda.

Dengan paras gula yang tinggi sejak muda, mereka bakal menghadapi lebih banyak risiko kesihatan.

Disebabkan itu, mereka akan sering dimasukkan di hospital, ponteng sekolah atau mengalami cabaran pembelajaran.

Ketika ditemui, pengarah eksekutif pertubuhan amal, Diabetes Singapura, Encik Satyaprakash Tiwari berkata:

"Dengan penerbitan buku tersebut serta menyiapkan wadah di mana orang ramai dapat berbincang dan berkongsi tentang pengalaman masing-masing berkenaan penyakit kencing manis, ia memperkuatkan sokongan dalam masyarakat kita terhadap kencing manis."

Pertubuhan itu antara lain, menawarkan khidmat pemantauan kesihatan berkaitan kencing manis serta mengendalikan kumpulan sokongan dengan lebih 5,000 peserta.

Ia menetapkan matlamat untuk mendekati lagi 5,000 orang tahun ini, katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan sokongan masyarakat bagi kencing manis Jenis 1 juga boleh menyertai kumpulan sokongan di Facebook typeone.sg.