PERKHIDMATAN Awam akan secara progresif membuka semula lebih banyak kemudahan awam dan menyambung semula lebih banyak perkhidmatan fizikalnya mulai Jumaat ini.
Divisyen Perkhidmatan Awam Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Rabu (17 Jun) berkata selaras dengan pembukaan Fasa Dua di mana lebih banyak kegiatan dibenarkan di sini, ia akan membuka lebih banyak kemudahan awam, seperti kemudahan di taman dan estet perumahan awam dan kemudahan sukan.
Program dan aktiviti yang memerlukan kehadiran fizikal akan disambung semula dalam kumpulan kecil dengan kepadatan, intensiti dan masa yang berkurangan.
Sebagai contoh, balai rakyat/kelab masyarakat akan dibuka semula dan akan meneruskan kursus dan aktiviti secara progresif dengan cara yang terhad, dengan kumpulan aktiviti mengamalkan langkah jarak selamat dalam kumpulan yang kecil.
Badan kehakiman pula boleh menyekat jumlah orang yang hadir semasa perbicaraan terbuka agar dapat mematuhi langkah jarak selamat.
Namun, untuk mengurangkan risiko wabak jangkitan, kemudahan lain yang mungkin melibatkan sebilangan besar orang berinteraksi antara satu sama lain di tempat tertutup, atau untuk jangka masa yang lama, tidak akan dibuka semula buat masa ini.
Ia mungkin dibuka semula kemudian, dan dengan cara yang terhad.
"Perkhidmatan Awam akan terus mengesyorkan agar warga mengakses perkhidmatan awam dan transaksi melalui cara digital sebanyak mungkin, walaupun berbagai pusat perkhidmatan telah memberi khidmat kepada warga melalui janji temu.
"Pegawai awam yang boleh bekerja dari rumah akan terus melakukannya. Langkah-langkah jarak selamat dan sistem SafeEntry akan dilaksanakan di semua tempat kerja dan pusat perkhidmatan awam, untuk memudahkan pengesanan kontak cepat sekiranya jangkitan dapat dikesan," kata kenyataan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg