Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerlu tingkat usaha tangani kesihatan mental belia: Sun Xueling
Perlu tingkat usaha tangani kesihatan mental belia: Sun Xueling
MENTERI Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, Cik Sun Xueling, dalam ucapan pembukaannya di Panel Rakyat tentang Kesihatan Mental Belia semalam mengajak peserta memikirkan apa yang boleh dilakukan, sebagai sebuah masyarakat, untuk memperbaiki kesihatan mental dan daya tahan mental di kalangan belia di Singapura.
"Bagaimana dapat kita memastikan yang setiap daripada kita menjadi yakin untuk menangani cabaran yang mendatang?" tanya beliau.
Panel Rakyat itu anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) dan berlangsung dari semalam hingga 16 April ini.
Dibiayai oleh Ngee Ann Kongsi, Panel Rakyat tersebut mendampingi sekitar 50 peserta yang merupakan pelajar Politeknik Republic, yang mempertimbang pandangan berbeza dan membangunkan huraian tentang cara memperbaiki kesihatan mental dan daya tahan mental belia setempat.
Perkongsian kumpulan itu akan menjana usulan yang pelbagai di mana pihak berkepentingan merasakan ia berguna dan mungkin dilaksanakan.
Panel itu juga akan menyediakan wadah untuk belia memainkan peranan sebagai rakyat aktif.
"Kami sedar, menerusi tinjauan yang dijalankan pada 2020 oleh Majlis Belia Kebangsaan, bahawa lebih separuh belia yang ditinjau menghadapi cabaran kesihatan mental sejak permulaan pandemik.
"Ia amat membimbangkan kami. Kami sedar mereka yang berusia 18 hingga 29 tahun paling prihatin dan paling terjejas oleh isu kesejahteraan mental," kata Cik Sun.
Beliau menerangkan, Pasukan Bertindak Antara Agensi mengenai Kesihatan dan Kesejahteraan Mental yang ditubuhkan Julai lalu sedang memikirkan inisiatif untuk meningkatkan landskap khidmat kesihatan dan kesejahteraan mental sedia ada untuk belia - memastikan khidmat diselaraskan dengan baik dan boleh diakses.
Menyentuh tentang pengaruh negatif dalam talian yang boleh menjejas kesejahteraan mental, Cik Sun berkata pasukan bertindak itu sedang berbincang dengan pengendali wadah teknologi untuk melihat bagaimana untuk menggalak amalan kesejahteraan positif dalam talian, dan mencari huraian praktikal yang boleh mengurangkan risiko dalam talian.
Beliau berkata pasukan bertindak itu sedang memperhalusi saranan dan lebih banyak akan dikongsi dalam masa beberapa bulan akan datang.