Topik diikuti
Pergi ke BHkuPERSEKUTUAN Sepak Takraw Singapura (Perses) sedang menyemak keputusan oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) berkaitan perbicaraan disiplin terhadap presidennya, Mohd Nasri Haron, dan sedang mendapatkan nasihat guaman berkaitan perkara tersebut.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Perses semalam, Mohd Nasri akan meneruskan operasinya seperti biasa.
Kenyataan itu menekankan bahawa Perses kekal satu-satunya Persekutuan Nasional/Persatuan Sukan Nasional bagi sepak takraw di negara ini dan ini tidak akan berubah.
"Kami rujuk kenyataan media yang dikeluarkan Astaf pada 3 Disember lalu.
"Perses sedang menyemak keputusan itu dan sedang mendapatkan nasihat guaman berkaitan perkara tersebut.
"Perses, serta presidennya kini, Mohd Nasri Haron, akan meneruskan operasinya tanpa perubahan," kata kenyataan yang ditandatangai Setiausaha Agung Perses, Zahid Abdul Aziz.
Kelmarin Astaf dalam kenyataan medianya berkata Mohd Nasri Haron, telah digantung selama 10 tahun di peringkat setempat dan antarabangsa oleh badan Asia sukan tersebut, bermula 30 November lalu.
Beliau juga diarah membayar semula Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) sebanyak AS$15,000 ($20,300) bagi membiayai kos persidangan jawatankuasa disiplin antarabangsa itu, dan sekiranya gagal, tambahan dua tahun atas penggantungan itu akan dikenakan.
Astaf berkata ia telah memulakan persidangan disiplin menerusi aplikasi Zoom dengan anggota panel dari India, Jepun, Korea, Pakistan, Iran, Indonesia dan Malaysia pada 26 November atas lima tuduhan "tindakan salah laku" ke atas Nazri, dengan tuduhan keenam ditarik balik.
Tuduhan pertama mendapati Nazri telah membuat kenyataan bertulis yang dianggap tidak sopan, menghina dan tidak sesuai.
Empat lagi tuduhan lain menyatakan beliau cuba mengganggu dan atau menjejas kestabilan pentadbiran cekap Astaf, dan cuba menjatuhkan usaha berdikari Astaf dalam semua perkara secara langsung atau tidak langsung berkaitan permainan sepak takraw dengan mendapatkan bantuan Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Majlis Olimpik Antarabangsa (OIC) bagi mencampuri pemilihan majlis Astaf.
Beliau membuat semua kenyataan yang didakwa itu dalam surat dan dua e-mel yang dihantar kepada anggota Astaf - dan salinannya diberi kepada para pegawai OCA dan IOC - pada Februari tahun lalu.