SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Persiapan NDP dibuat di sebalik ketidakpastian

Persiapan NDP dibuat di sebalik ketidakpastian

Jun 3, 2021 | 5:30 AM

Persiapan NDP dibuat di sebalik ketidakpastian

PERSIAPAN SEDANG RANCAK DIBUAT: Para pekerja dilihat mendirikan struktur di platform terapung Marina Bay, semalam. - Foto BH oleh GIN TAY
PERSIAPAN SEDANG RANCAK DIBUAT: Para pekerja dilihat mendirikan struktur di platform terapung Marina Bay, semalam. - Foto BH oleh GIN TAY -

PERSIAPAN kini sedang dibuat bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini untuk diadakan di platform terapung Marina Bay meskipun terdapat ketidakpastian dalam jumlah orang yang akan dapat menghadiri acara itu di bawah sekatan Covid-19.

Kementerian Pertahanan (Mindef) telah membuka lima tender antara Februari dengan bulan lalu bagi barangan dan perkhidmatan khusus bagi NDP 2021, dengan kaveat bahawa keperluan itu mungkin berubah disebabkan situasi virus yang berubah.

Dalam dokumen tender itu, penganjur meminta penyediaan bahan publisiti, alat peraga, kostum, sistem pencahayaan, dan sistem kesan khas hujan, lapor The Straits Times (ST).

Akhbar itu telah menghubungi Mindef untuk mendapatkan komen tentang tender tersebut, dengan yang terkini diterbitkan di laman pemerolehan pemerintah Gebiz pada 17 Mei.

Tender terkini itu meminta penyewaan kesan khas hujan bagi perbarisan di sebuah "tempat luar" yang berukuran 120 meter kali 83 meter dan "bergerak secara menegak dalam air dengan perubahan paras air".

Ia menyatakan bahawa skop perkhidmatan tidak boleh disediakan sepenuhnya buat masa ini disebabkan sifat NDP 2021 yang berkembang, dan pihak penganjur berhak meminta agar perkhidmatan tambahan disediakan kontraktor yang akhirnya dipilih.

Menurut laporan ST yang mengunjungi platform terapung itu minggu lalu, terdapat tanda yang mengatakan penyenggaraan sedang dijalankan dari 26 April hingga 3 Julai.

Apa yang dilihat sebagai dua skrin raksasa sedang didirikan - serupa dengan apa yang dilihat semasa NDP terakhir di platform terapung itu pada 2018 - di samping pentas atas platform terapung itu.

Tiada bahan publisiti dilihat.

Satu tender bagi "khidmat kreatif" yang diterbitkan pada Februari lalu diberikan kepada firma perhubungan awam Tate Anzur pada April.

Antara lain, firma itu akan membuat desain logo, panduan pertunjukan, buku peringatan, dan dekorasi platform terapung.

Mereka juga perlu membuat khidmat desain bagi sehingga enam tapak kawasan kejiranan dan dekorasi bagi kawasan sekitarnya.

Tidak dinyatakan apa yang akan berlaku di tapak tersebut.

Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, berkata dalam satu majlis penghargaan NDP tahunan pada Ogos 2020 bahawa perbarisan akan diadakan di platform terapung jika keadaan Covid-19 dapat dikawal.

NDP 2020 diadakan dalam format teragih, termasuk perbarisan waktu pagi di Padang dan persembahan waktu malam di Star Vista dengan jumlah peserta yang kurang daripada biasa.

Di bawah langkah sekatan dipertingkat yang dilaksanakan sehingga 13 Jun ini, persembahan secara langsung harus ditangguhkan.

Sejak 16 Mei, saiz penonton bagi persembahan dihadkan pada 100 orang dengan ujian praacara, dan 50 orang tanpa ujian praacara.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg