Topik diikuti
Pergi ke BHkuPertemuan Sasterawan Nusantara bakal dianjurkan di Wisma Geylang Serai
Anjuran Asas50, ia himpunkan ahli bahasa dari 4 negara
Pertemuan Sasterawan Nusantara bakal dianjurkan di Wisma Geylang Serai
DIANJURKAN buat kali ke-20, Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) akan mengumpulkan ahli bahasa dari empat negara Asean iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Kali ini, pertemuan tersebut, yang diadakan sekali setiap dua tahun, bakal diadakan di Singapura.
Kali terakhir Singapura menjadi tuan rumah ialah pada 2011.
Dianjurkan Angkatan Sasterawan '50 (Asas50), PSN20 akan berlangsung pada 25 dan 26 Februari 2023 di Wisma Geylang Serai.
Dihubungi Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur PSN20, Encik Abdul Samat Ali berkata terdapat tiga sesi pembentangan makalah sepanjang dua hari tersebut.
Sesi pertama membincangkan topik 'Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dalam Dunia Pendidikan'.
Sesi kedua membincangkan tentang perkembangan sastera Melayu dan cabarannya, sementara sesi ketiga pula berkenaan 'Menyatukan Elit dan Masyarakat Melayu Melalui Sastera'.
Selain itu, forum perdana juga akan diadakan membicarakan 'Sastera Melayu dalam Era Negara Bijak'.
Seramai 15 pemakalah telah diundang untuk menyampaikan kertas kerja di PSN20 yang bakal menjelang itu.
Antara mereka yang bakal hadir ialah sasterawan Malaysia, Haji Hamzah Hamdani dari Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena); Drs. Sam Mukhtar Chaniago dari Universiti Negeri Jakarta; Dr. Muhammad Hadi, Pengetua Pusat Sejarah Brunei; dan Dr. Mohd Pitchay Gani M. A. Aziz, pengkaji bahasa Melayu dari Singapura.
Tajuk-tajuk yang bakal disampaikan di pertemuan tersebut meliputi perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu yang meliputi bidang pendidikan, kemasyarakatan, kemanusiaan, budaya dan kesenian.
Semasa pertemuan itu juga ASAS '50 akan menghidupkan kembali warisan bangsa iaitu gurindam, syair dan pantun.
Forum perdana pula akan disampaikan oleh setiap perwakilan negara termasuk sasterawan perintis, Cikgu Suratman Markasan; Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan dari Gapena; Encik Asrizal Nur dari Perkumpulan Rumah Seni Asnur (Perruas); Profesor Ampuan Dr. Haji Ibrahim dari Angkatan Sasterawan dan Sasterawani, Brunei Darussalam (Astrawani); dan Encik Saifulizan Yahaya dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Seramai lebih 100 hadirin dijangka menghadiri PSN20.
Acara tersebut dianjurkan dengan sokongan Yayasan Lee, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan Wisma Geylang Serai.