Topic followed successfully
Go to BHkuPM Lee kirim takziah di atas pemergian tokoh kerja sosial Jean Marshall, balu David Marshall
PM Lee kirim takziah di atas pemergian tokoh kerja sosial Jean Marshall, balu David Marshall
PM Lee kirim takziah di atas pemergian tokoh kerja sosial Jean Marshall, balu David Marshall
PERDANA Menteri Encik Lee Hsien Loong dan isterinya Cik Ho Ching mengirim surat ucap takziah kepada anak-anak mantan Ketua Menteri Singapura, mendiang Encik David Marshall, di atas pemergian ibu mereka, Cik Jean Marshall.
Cik Marshall meninggal dunia di kondominumnya di Balmoral Road pada usia 94 tahun pada Isnin (29 Mac). Beliau dikatakan terjatuh pada awal Februari lalu dan terlantar di katil rumahnya dengan pergerakannya terjejas selama enam minggu yang menyusuli.
Cik Marshall, seorang tokoh kerja sosial, meninggalkan empat anak berusia antara 52 tahun dengan 60 tahun.
Dalam surat yang ditujukan kepada anak-anaknya Cik Ruth Ann Marshall, Cik Sarah Farha Marshall, Cik Joanna Tamar Marshall dan Dr Jonathan Mark Marshall, Encik Lee mengiktiraf beberapa sumbangan penting Cik Marshall pada kerja sosial perubatan termasuk projek Palang Merah di Malaya dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura.
"Beliau adalah sukarelawan buat rumah pemulihan persatuan itu selama hampir 20 tahun dan meneruskan kerjanya itu ketika hamil. Dilahirkan sebagai warga British, Jean menjadikan Singapura rumahnya dan menyumbang banyak kepada masyarakat kita.
"Jean juga adalah teman seiring jalan yang amat mengambil berat tentang mendiang bapa anda, Encik David Marshall. Beliau ada di sisi Encik Marshall sewaktu tugasan Duta Singapura ke Perancis digalas, lantas menawarkan layanan ramah dan mesranya kepada warga asing bagi mengenalkan mereka pada Singapura, dan juga kepada warga Singapura di Perancis agar mereka kurang merasa kerinduan yang amat sangat pada Singapura," tulis Encik Lee.
Beliau juga menjelaskan dalam kunjungannya ke Paris pada 1990, Cik Marshall menjaganya dengan baik dengan keakraban terjalin walaupun jarak usia mereka begitu jauh.
"Beberapa minggu lalu, apabila saya mendapat tahu Jean dimasukkan ke hospital, saya menulis nota cepat sembuh buatnya dan amat gembira apabila beliau sihat untuk membalas nota saya.
"Namun kini beliau telah meninggalkan kita dan kita meratap kehilangan salah seorang daripada wanita pengasas Singapura kita," tambah Encik Lee.
Upacara pengebumian Cik Marshall akan distrim secara langsung menerusi laman www.jean.marshall.com.sg

