Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Lee: Tanggungjawab utama pemerintah ialah khidmat kepada warga
PM Lee: Tanggungjawab utama pemerintah ialah khidmat kepada warga
PM Lee: Tanggungjawab utama pemerintah ialah khidmat kepada warga
DALAM perihal Singapura, tanggungjawab utama pemerintah adalah berkhidmat kepada masyarakat, melakukan perkara yang betul buat mereka dan memastikan negara ini berkembang, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong kelmarin.
Ia justeru itu perlu memutuskan apa yang benar, arah tuju bagaimana yang ingin diambil dan bagaimana ia mahu memimpin negara ini ke depan, kata Encik Lee dalam sidang media bersama dengan Presiden Rwanda, Encik Paul Kagame.
Encik Lee berada di Rwanda bagi Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm) minggu lalu.
Pemerintah juga peka bahawa tiada sesiapa yang benar setiap masa atau mempunyai monopoli terhadap kebijaksanaan dengan ia mempertimbang kritikan secara objektif, katanya.
Encik Lee menjawab soalan daripada wartawan Agensi Penyiaran Rwanda yang mendapati Singapura dan Rwanda berdepan dengan kritikan sedang kededuanya membangun.
Beliau bertanya apakah yang membenarkan kededua negara ini memperjuangkan keutamaan nasional mereka di samping berusaha hingga penghujungnya yang membawa pada kejayaan mereka.
"Anda mungkin betul atau anda mungkin salah, tiada yang benar setiap masa. Tiada yang mempunyai kuasa mutlak ke atas kebijaksanaan dalam dunia," kata Encik Lee.
"Sama ada anda perlu mendengar pada pandangan atau anda perlu dengar pada kritikan, dalam pasukan anda, dalam negara anda. Malahan jika ia datang dari luar negara, dengar secara objektif."
Mendapati bahawa sesetengah pihak akan mengkritik negara yang tidak memenuhi model mereka tentang bagaimana sesebuah negara harus beroperasi, Encik Lee berkata setiap negara mempunyai keadaan, sejarah, budaya dan aspirasi berbeza.
Justeru itu, mereka mungkin mempunyai nilai dan cara mengendalikan diri mereka secara berbeza, tambahnya.
Encik Lee juga berkata apabila kritikan tidak benar atau tidak adil, pemerintah akan secara hormat tidak bersetuju dan melakar perspektifnya bagi meyakinkan warga Singapura dan bagi mengelak sebarang kekeliruan.
Pada akhirnya, pemimpin yang dipilih bertanggungjawab terhadap masyarakat mereka dan berdepan dengan pilihan raya, tekannya.
"Jika orang menyokong apa yang kita lakukan, kita akan terus berkhidmat buat mereka dengan mandat yang diberi. Jika kita tidak melakukan yang benar, justeru pasukan lain yang akan diberikan tanggungjawab itu.
"Dalam hal ini, anda boleh menerima kritikan tanpa bertindak mahu mempertahankan diri atau tanpa secara berlebihan rasa goyah dengan pelbagai pandangan dan mencari laluan yang benar untuk mara buat Singapura."
Menjawab soalan yang sama, Presiden Kagame berkata penting bagi pemimpin memahami apa yang penduduk mereka mahu dan apakah aspirasi mereka.
Mereka yang berkuasa harus memastikan terdapat perhubungan antara dasar mereka dan masyarakat mereka dengan mereka perlu membentangkan visi mereka.
"Kita kerap mengukur secara bersama sama ada kemajuan telah dicapai. Dan sejurus anda membenarkan perkara ini untuk berlarutan dan menjadi panduan apa yang anda mahu lakukan, kritikan adalah perkara yang anda boleh tangani dan anda boleh pelajari daripadanya," jelasnya.
"Jika orang menyokong apa yang kita lakukan, kita akan terus berkhidmat buat mereka dengan mandat yang diberi. Jika kita tidak melakukan yang benar, justeru pasukan lain yang akan diberikan tanggungjawab itu. Dalam hal ini, anda boleh menerima kritikan tanpa bertindak mahu mempertahankan diri atau tanpa secara berlebihan rasa goyah dengan pelbagai pandangan dan mencari laluan yang benar untuk mara buat Singapura." - Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
