Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong ucap tahniah kepada Keir Starmer menang pilihan raya Britain

Jul 6, 2024 | 9:27 AM
Lawrence Wong
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengirimkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, pada 5 Julai selepas pemimpin Parti Buruh Britain itu meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara tersebut. - Foto PMO

Perdana Menteri Encik Lawrence Wong mengirimkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer pada 5 Julai selepas pemimpin Parti Buruh Britain itu menyaksikan partinya meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara tersebut, lapor The Straits Times.

Dalam suratnya itu, Encik Wong berkata Encik Starmer menyandang jawatan tersebut tatkala dunia berhadapan dengan cabaran ketara.

Beliau berkata: “Rakyat Britain telah meletakkan kepercayaan mereka kepada kepimpinan anda dengan memberi anda mandat yang kuat untuk mengemudi negara melalui masa yang mencabar ini.”

Encik Wong menambah bahawa Singapura dan Britain adalah rakan kongsi lama, dengan hubungan terjalin selama lebih dua abad.

Kedua-dua negara, tambahnya, turut berkongsi ikatan persahabatan yang mendalam, disokong oleh kerjasama luas dan hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh.

Beliau berkata: “Perkongsian teguh kami dibina berdasarkan komitmen bersama ke arah kemajuan ekonomi, dan sikap saling menghormati terhadap norma antarabangsa serta perintah berasas aturan berbilang hala.”

Beliau menambah bahawa pelancaran Perkongsian Strategik Singapura – United Kingdom (UK) pada September 2023 merupakan peristiwa penting dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Singapura dan Britain, kata Encik Wong, juga sedang berusaha mengukuhkan kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui dan kemampanan sebagai sebahagian daripada perkongsian itu.

“Daya usaha ini akan mewujudkan peluang baru untuk perniagaan dan rakyat kami,” tambahnya.

Singapura juga menghargai penglibatan berterusan Britain bersama rantau itu, termasuk sebagai rakan dialog Asean dan rakan anggota Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA), kata Encik Wong.

“Kita boleh bekerjasama untuk memajukan kepentingan bersama negara kita dan menangani cabaran bersama,” tambahnya.

Dalam suratnya itu, Encik Wong turut mengharapkan kesihatan yang baik serta kejayaan buat Encik Starmer, dan berkata beliau menantikan pertemuan dengan Encik Starmer tidak lama lagi.

Dalam hantarannya di wadah X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, Encik Wong telah mengucapkan tahniah kepada Encik Starmer atas kemenangan pilihan raya.

Beliau berkata: “Singapura dan UK berkongsi hubungan yang lama dan bersejarah.

“Saya nantikan kerjasama dengan Encik Starmer dan pasukannya untuk mengukuhkan perkongsian strategik kami.”

Dalam pilihan raya umum Britain pada 4 Julai, Parti Buruh menang 412 kerusi daripada majoriti keseluruhan di Parlimen sebanyak 650 kerusi.

Ia merupakan kemenangan ke atas Parti Konservatif yang memerintah, yang hanya memperoleh 121 kerusi.

Undian masih dikira bagi dua lagi kerusi, dengan keputusan dijangka pada 6 Julai.

Parti Buruh kini akan membentuk kerajaan buat kali pertama sejak 2010.

Perdana Menteri, Encik Rishi Sunak, mengaku kalah pada 5 Julai dan berkata beliau akan mengundurkan diri.

Selepas kemenangannya dalam pilihan raya, Encik Starmer mengadakan pertemuan dengan Raja Charles III di Istana Buckingham, sebelum memegang jawatan perdana menteri.

Hubungan teguh antara S’pura dengan United Kingdom

“Perkongsian teguh kami dibina berdasarkan komitmen bersama ke arah kemajuan ekonomi, dan sikap saling menghormati terhadap norma antarabangsa serta perintah berasas aturan berbilang hala.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg