Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong ucap takziah kepada keluarga mangsa Taufan Chido di Perancis

Dec 23, 2024 | 5:20 PM
Taufan Chido meragut 94 nyawa dan disifatkan sebagai “bencana alam paling teruk dalam beberapa abad dalam sejarah Perancis”.
Taufan Chido meragut 94 nyawa dan disifatkan sebagai “bencana alam paling teruk dalam beberapa abad dalam sejarah Perancis”. - Foto AFP

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyampaikan ucapan takziah beliau kepada Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, untuk mangsa Taufan Chido di Mayotte, sebuah wilayah luar negara Perancis.

Dalam surat bertarikh 21 Disember, Encik Wong berkata beliau amat sedih mendengar tentang kehilangan nyawa dan kemusnahan akibat Taufan Chido di serata Mayotte.

“Bagi pihak pemerintah Singapura, saya merakamkan ucapan takziah saya kepada keluarga mangsa, dan simpati tulus ikhlas saya kepada semua individu yang hidupnya terjejas.

“Ingatan kami bersama penduduk Mayotte dalam masa sukar ini,” kata beliau.

Mayotte, yang mempunyai sekitar 320,000 penduduk, terletak 500 kilometer ke timur Mozambique dan merupakan wilayah termiskin Perancis.

Agensi pengurusan bencana Mozambique berkata jumlah kematian akibat taufan itu, yang melanda pada 14 Disember, ialah 94 orang pada 22 Disember.

Gambar-gambar mengenai Mayotte selepas taufan itu menunjukkan rumah dengan bumbung tercabut dan kepingan panel bumbung berselerak di tanah.

Sebuah hospital di ibu negara wilayah itu, Mamoudzou, turut mengalami kerosakan dengan tingkapnya berterbangan dan pintunya tercabut dari engsel, lapor AFP.

“Tragedi Mayotte mungkin merupakan bencana alam terburuk dalam sejarah Perancis dalam beberapa abad lalu,” kata Perdana Menteri Perancis, Encik Francois Bayrou.

Pada 19 Disember, Encik Macron melawat kawasan yang dilanda bencana itu dan membawa bersamanya empat tan bantuan makanan dan kesihatan, serta pekerja penyelamat.

Beliau berkata lebih banyak sokongan akan diberikan tidak lama lagi, termasuk 400 lagi anggota tentera untuk memastikan keselamatan dan bekalan makanan dan air melalui udara dan laut.

ST melaporkan bahawa semasa di sana, beliau turut menilai kemusnahan akibat Taufan Chido di kepulauan Lautan Hindi.

“Bagi pihak pemerintah Singapura, saya merakamkan ucapan takziah saya kepada keluarga mangsa, dan simpati tulus ikhlas saya kepada semua individu yang hidupnya terjejas. Ingatan kami bersama penduduk Mayotte dalam masa sukar ini.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg