PADA hari kedua pramugara utama, Encik Faidhi Mohamad Ruzli, menjalankan tugas kemasyarakatannya sebagai duta jagaan di Hospital Besar Ng Teng Fong, beliau adalah sebahagian pasukan yang perlu menangani pesakit yang baru sahaja meninggal dunia.
Ia merupakan pengalaman yang merentap tangkai hati dan membuka matanya tatkala dibawa meninjau proses bagaimana pesakit itu diserahkan kepada keluarganya.
Encik Faidhi, 32 tahun, adalah antara 800 pramugara dan pramugari syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) yang kini memanfaatkan kemahiran profesional mereka bagi peranan alternatif membantu melawan wabak koronavirus sementara tugas penerbangan mereka dibatalkan.
Pada 25 April lalu, SIA mengumumkan ia akan melanjutkan pembatalan penerbangan hingga lewat Jun ini menyusuli sekatan kembara serata dunia.
Buat masa ini, SIA membataskan khidmat penerbangan hanya ke 15 destinasi berbanding lebih 130 destinasi sebelum ini.
Dalam laporan The Straits Times, disingkap tugas beberapa pramugara dan pramugari yang menjalankan amanah sebagai duta jagaan di hospital dan duta pengangkutan di hab pengangkutan awam.
Sebagai kru kabin yang terbiasa dengan komunikasi dan memberi khidmat terbaik buat penumpang, kemahiran ini dirasakan banyak membantu.
Sebagaimana kongsi Encik Mohamad Faidhi yang mula dikerahkan sebagai duta jagaan di Hospital Besar Ng Teng Fong sejak 21 April lalu:
"Menjadi seorang pramugara mengajar saya agar proaktif dan peka dengan tugas menjaga orang lain.
"Sedang peralihan tugas ini berjalan lancar, saya selalu mengingatkan diri saya bahawa jagaan dan keprihatinan tambahan harus diperhatikan apabila menangani pesakit yang rasa tidak sedap badan."
Dalam tugasnya kini, Encik Faidhi yang sudah bekerja bersama SIA selama 12 setengah tahun, membantu memberikan sokongan pentadbiran serta menjalankan tugas bukan klinikal dalam menjaga pesakit yang memerlukan jagaan perubatan.
Beliau juga membantu jururawat dengan tugas mengubah dan membetulkan kedudukan pesakit di katil, mencatat butiran peribadi mereka dan memastikan pesanan makanan mereka dijaga dan dipenuhi.
Encik Faidhi juga akur sedang troli kecemasan di wad hospital kelihatan seperti troli makanan dan minuman dalam penerbangan, setiap barangan yang didapati pada troli kecemasan itu tampak asing.
Beliau mengambil masa mengenal pasti peralatan perubatan dan aparatus yang digunakan di hospital.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg