Topic followed successfully
Go to BHkuPrasarana ayam biakan terbesar Asia dibina di Bedok
Prasarana ayam biakan terbesar Asia dibina di Bedok
Kemudahan seluas 30,000 kaki persegi dibina awal 2023 di hab industri makanan Bedok Food City
Prasarana ayam biakan terbesar Asia dibina di Bedok
PENGGEMAR daging di sini akan mempunyai lebih banyak pilihan dalam pemakanan mereka apabila kemudahan ayam dibiak terbesar di Asia dibina di Bedok awal tahun depan.
Divisyen Good Meat firma teknologi makanan California, Eat Just, mengadakan majlis pecah tanah di kemudahan seluas 30,000 kaki persegi - sekitar separuh saiz padang bola sepak - di hab industri makanan Bedok Food City semalam.
Singapura negara pertama untuk meluluskan penjualan daging berasaskan sel pada Disember 2020, dengan produk itu datang daripada Good Meat.
Ayam biakan sel adalah daging daripada sel-sel ayam yang tumbuh dalam bioreaktor - alat di mana reaksi atau proses biologi dijalankan - dan oleh itu, meniadakan keperluan menyembelih ayam hidup sebenar.
Apabila beroperasi dalam suku pertama tahun depan, loji Bedok bernilai $61 juta itu akan menempatkan bioreaktor 6,000 liter - yang terbesar dalam industri daging dibiak sejauh ini - dan akan menghasilkan ribuan kilogram ayam baru itu setiap tahun.
Sekitar 50 penyelidik, saintis dan jurutera akan bekerja di kemudahan itu, yang akan menjadi loji Good Meat terbesar sehingga kemudahan keduanya di Amerika dibina nanti.
Penyelidikan dan pengembangan dalam makanan baru dan protein alternatif sedemikian semakin mendapat perhatian di Singapura sejak beberapa tahun lalu sedang negara ini mempertingkatkan keselamatan makanannya dan menghasilkan makanan secara mampan.
Dengan Singapura kini mengimport lebih 90 peratus makanannya, negara ini sedang berusaha untuk mengukuhkan diri terhadap kejutan bekalan makanan sejagat dengan menghasilkan 30 peratus makanannya secara tempatan menjelang 2030.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang hadir di acara pecah tanah itu, berkata:
"Dengan kemajuan teknologi dan permintaan pengguna yang meningkat bagi makanan mampan, protein alternatif mempunyai potensi menambah produktiviti pertanian Singapura dan menyumbang secara bermakna kepada matlamat 30 menjelang 30 kita."
Pengumuman kemudahan baru itu menyusuli seminggu sejak Malaysia mengumumkan larangan eksport ayam, yang telah menjejas pembekal dan penjual di sini dengan bekalan daging segar yang kurang.
Pembekal dan penjual di sini kini beralih ke daging ayam yang disejukkan, dibekukan dan diproses.
Cik Fu berkata: "Pengimport kita dapat memberi respons dengan cepat dengan memanfaatkan rangkaian luas pembekal daripada sumber alternatif, seperti daripada pembekal di Thailand dan Australia."
Bioreaktor Good Meat boleh menghasilkan antara 4,500kg dengan 45,000kg daging ayam yang dibiak menggunakan sel setiap tahun, kata ketua eksekutif Eat Just, Encik Josh Tetrick.
Ini adalah sebahagian kecil daripada 214,400 tan ayam yang diimport Singapura tahun lalu.
Jumlah besar makanan berasaskan tumbuhan atau dibiak melalui sel boleh dihasilkan dengan kawasan tanah yang lebih kecil, bilangan pekerja yang kurang dan pengeluaran gas rumah hijau yang lebih rendah.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sektor ternakan sejagat menyumbang 14.5 peratus pengeluaran gas rumah hijau.
Good Meat percaya kos tenaga dan karbon daripada penghasilan daging dibiak adalah lebih rendah berbanding pertanian haiwan.
Julai tahun lalu, kemudahan penghasilan daging dibiak komersial yang pertama di dunia mula beroperasi di sini apabila Esco Aster, sebuah pertubuhan pembangunan dan perkilangan kontrak tempatan, diberi kelulusan menghasilkan makanan baru itu.
Jurucakap Eat Just berkata Esco Aster adalah rakan strategik Good Meat dan akan terdapat peluang memperkukuh kerjasama mereka apabila kemudahan Bedok itu beroperasi.
