BEKERJASAMA rapat termasuk dalam hal digitalisasi dan penyahkarbonan akan membolehkan Singapura dan Malaysia mengharungi cabaran ekonomi yang lebih bergelora pada masa depan.

Ia juga memastikan kedua-dua negara terus menjadi "sinar cahaya" Asia Tenggara yang terbuka kepada teknologi, bakat dan pelaburan global.

Demikian kata Presiden Halimah Yacob ketika bertemu wakil perniagaan Singapura dan Malaysia bagi sesi jamuan teh di Hotel St Regis, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ia merupakan hari pertama daripada Lawatan Negara tiga harinya ke Malaysia yang berlangsung dari 20 hingga 22 Mac 2023.

Beliau membuat lawatan negara tersebut atas undangan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Abdullah Ahmad Shah.

Semasa ucapannya ketika sesi jamuan teh tersebut, Puan Halimah memuji usaha Singapura dan Malaysia yang telah secara aktif mempelbagaikan kerjasama ke dalam sektor baru dan baru muncul.

Namun, pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa rakyat dari kedua-dua negara mesti dapat meraih manfaat daripada pembangunan yang dilalui.

"Kita mesti memastikan bahawa warga-warga kita mendapat manfaat daripada hasil perdagangan bebas, pendigitalan yang lebih besar dan pembangunan yang mampan," ujar Puan Halimah.

Kerjasama erat telah membuahkan hasil bagi kedua-dua pihak dan hubungan ekonomi Singapura dan Malaysia telah mencapai skala baru meskipun dengan berlakunya pandemik Covid-19.

Bahkan, pandemik Covid-19 telah menekankan realiti tentang betapa ekonomi kedua-dua negara "sangat saling bergantung".

"Pada 2022, Singapura dan Malaysia terus merupakan rakan dagangan kedua terbesar masing-masing, dengan perdagangan dua hala tumbuh 18.9 peratus untuk mencapai $153 bilion," tambahnya.

Lebih dari itu, apa yang membuat perkongsian ekonomi Singapura dan Malaysia istimewa ialah hubungan mendalam dan rencam yang terjalin antara syarikat kecil dan sederhana (SME), firma pemula dan syarikat besar.

Puan Halimah turut melahirkan rasa gembira bahawa syarikat-syarikat Singapura seperti Grab, Singtel dan SEA Group telah dianugerahkan lesen bank digital oleh Bank Negara Malaysia pada 2022.

"Kehadiran beberapa syarikat ini pada sesi jamuan hari ini (20 Mac) adalah bukti kekuatan hubungan ekonomi kami, yang melangkaui peringkat pemerintah tetapi telah berkembang antara masyarakat perniagaan kami," kata Puan Halimah.

Beliau menggalakkan para peniaga terus mengembangkan rangkaian mereka merentasi Tambak dan meneroka peluang bagi kerjasama selanjutnya.

Ini lebih-lebih lagi dalam bidang di mana kedua-dua negara memiliki kekuatan yang saling melengkapi.

"Dengan bekerjasama rapat bersama, kita boleh mencapai lebih banyak lagi. Kita boleh menjadi pesaing, tetapi kita juga boleh menjadi rakan usaha sama dan dengan cara itu kita boleh mencapai lebih banyak lagi untuk warga-warga kita," tambah beliau.

Turut hadir semasa sesi jamuan teh yang diadakan itu ialah pengarah Kelab Perniagaan Kuala Lumpur, Dato' Rohana Tan Sri Mahmood; Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Pendidikan dan Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling; dan Pesuruhjaya Tinggi, Encik Vanu Gopala Menon.

Sesi jamuan teh tersebut telah dihadiri lebih 20 pemimpin perniagaan Singapura dan Malaysia.