Topik diikuti
Pergi ke BHkuPresiden Halimah rasmikan program eratkan belia dengan warga emas
Presiden Halimah rasmikan program eratkan belia dengan warga emas
DEMI merapatkan jurang antara yang muda dan yang tua, sebuah program perintis, 'Temasek Foundation Cares - Moving Generations Programme', telah dilancarkan semalam.
Program tersebut bertujuan mendekatkan warga emas daripada Generasi Perintis dan Merdeka, dengan golongan belia menerusi kegiatan berkongsi kisah dan pengalaman peribadi mereka dalam pembangunan negara.
Sukarelawan yang merupakan para belia akan mengayuh beca, membawa warga emas daripada beberapa Pusat Kegiatan Warga Emas melalui penyambung taman dan kawasan perumahan.
Beca-beca yang digunakan merupakan beca elektronik yang direka khas.
Semasa perjalanan mereka itulah kededua generasi ini berpeluang berinteraksi dan bertukar cerita.
Dilancarkan semalam oleh Presiden Halimah Yacob di Taman di Persisiran, program tersebut merupakan kerjasama antara Temasek Foundation Cares dan Cycling Without Age.
Temasek Foundation Cares telah memperuntukkan $530,000 untuk menyokong program perintis tersebut selama tiga tahun.
Memberi ulasan beliau tentang program itu, Pengerusi Temasek Foundation Cares, Encik Richard Magnus berkata ia dapat merapatkan jurang antara anak muda hari ini dengan warga tua.
"Dengan ini, kita boleh mengatasi pengasingan sosial yang merupakan kerisauan di kalangan warga emas Singapura dengan berkesan, pada masa yang sama mendekati belia kita menerusi aktiviti bermakna yang boleh mengajar mereka tentang sejarah kita," tambah beliau.