Presiden Tharman Shanmugaratnam telah melantik Encik Saat A. Rahman sebagai anggota Majlis Presiden bagi Hak-Hak Kaum Minoriti (PCMR) bagi tempoh tiga tahun, yang berkuat kuasa dari 15 Julai.
Encik Saat, yang merupakan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan dalam industri media, antaranya mantan editor Berita Harian (BH), dan kini merupakan Perunding Kanan bagi Projek Khas di bilik berita tersebut.
Encik Othman Haron Eusofe, Profesor Chan Heng Chee, Encik Barry Desker, Encik Philip Jeyaretnam, Venerable Sik Kwang Sheng, dan Imam Masjid Ba’alwie, Habib Syed Hassan Al-Attas, turut dilantik semula sebagai anggota PCMR bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Julai 2024.
Peranan PCMR adalah untuk meneliti undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, bagi memastikan tiada peruntukan dalam undang-undang tersebut bersifat diskriminasi terhadap mana-mana masyarakat kaum atau agama.
Pengerusi dan anggota PCMR dilantik oleh Presiden atas nasihat Kabinet.
Di bawah Perlembagaan, PCMR harus terdiri daripada seorang Pengerusi, dan sehingga 20 anggota, dengan sehingga 10 mungkin adalah anggota tetap.
Selain daripada anggota tetap yang dilantik seumur hidup, Pengerusi dan anggota lain dilantik bagi tempoh tiga tahun.
Ketika dihubungi BH, Encik Saat, 63 tahun, berkata:
“Saya rasa berbesar hati dilantik untuk berbakti kepada PCMR. Saya akan buat yang terbaik untuk menyumbang pada amanah yang diberikan kepada saya.”
Dengan pelantikan terkini itu, PCMR mempunyai 18 anggota termasuk seorang Pengerusi, lima anggota tetap yang dilantik seumur hidup, dan 12 anggota yang dilantik selama tiga tahun.
Lima anggota tetap itu ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong; Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; mantan menteri Kabinet, Encik S. Dhanabalan; dan mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg