Program Pendekatan Penjagaan Kesihatan Muslim (MHOP) 2024 akan berlangsung di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 7 dan 8 Disember, memberi fokus khas kepada pelajar pra-universiti Muslim yang bercita-cita menceburi bidang perubatan.
Program ini merupakan peluang unik bagi pelajar yang berminat dalam bidang perubatan, kejururawatan, farmasi dan pelbagai disiplin penjagaan kesihatan lain untuk memperoleh pengalaman langsung dan memahami lebih mendalam tentang profesion yang bakal mereka ceburi.
Pada hari pertama, peserta akan mengikuti sesi perkongsian bersama pakar dalam bidang perubatan yang bakal menyentuh aspek-aspek penting seperti “Mengatur Langkah dalam Bidang Perubatan” dan “Mengharungi Bidang Kesihatan sebagai Muslim”.
Dr Nurhidayati Suphan, Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), menjelaskan:
“Program ini membantu pelajar memahami bukan sahaja cabaran, tetapi juga kekuatan yang diperlukan dalam bidang perubatan, terutama bagi pelajar Muslim yang mahu terus mengekalkan nilai agama dalam kerjaya mereka.”
Peserta juga berpeluang menyertai stesen kegiatan praktikal yang membolehkan mereka mencuba beberapa prosedur perubatan asas.
Pendedahan secara langsung ini direka khas untuk memberi pelajar gambaran yang lebih realistik tentang suasana kerja di dunia kesihatan, dari rawatan pesakit hingga pengendalian peralatan.
Salah seorang peserta pada 2023 berkata: “Ini pengalaman yang sangat berharga bagi pelajar seperti saya yang baru berjinak-jinak dalam bidang perubatan. Program ini mengubah persepsi saya tentang kehidupan sebagai doktor”.
Pada hari kedua, peserta akan menjalani sesi yang memberi fokus kepada aspek kemahiran permohonan universiti, termasuk cara menulis pernyataan peribadi dan persediaan hadapi temu duga.
Ini diikuti dengan latihan tentang langkah-langkah penting dalam memohon biasiswa yang berkaitan dengan bidang jagaan kesihatan.
Program bimbingan juga akan ditawarkan selepas acara ini, di mana peserta berpeluang dipadankan dengan pelajar perubatan semasa sebagai panduan sepanjang proses kemasukan ke universiti.
MHOP juga menawarkan peluang ‘job shadowing’ iaitu mengikuti seorang karyawan yang berpengalaman dalam pekerjaan harian mereka.
Mereka akan mengikuti profesional kesihatan Muslim dalam pelbagai bidang untuk mendapatkan pandangan lebih dekat tentang realiti pekerjaan dalam sistem penjagaan kesihatan Singapura.
Program ini dilihat sebagai satu platform yang bukan sahaja memberi pengetahuan teori tetapi juga membuka mata pelajar terhadap pilihan kerjaya mereka.
Pelajar yang berminat perlu mendaftar sebelum 31 November ini melalui tinyurl.com/MHOP2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg