Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puan Halimah gesa warga S'pura terus hulur bantuan tanpa mengenal bangsa dan agama

Jun 15, 2018 | 12:45 PM
AIDILFITRI PERTAMA SEBAGAI PRESIDEN: Puan Halimah dan suaminya Encik Mohamed Abdullah Alhabshee setibanya di Masjid Sultan pada 15 Jun.
AIDILFITRI PERTAMA SEBAGAI PRESIDEN: Puan Halimah dan suaminya Encik Mohamed Abdullah Alhabshee setibanya di Masjid Sultan pada 15 Jun. - NORMAN SAWI

MENGHULURKAN bantuan kepada golongan yang memerlukan, tanpa mengenal bangsa dan agama adalah semangat sebenar Ramadan dan beliau berharap warga berbilang kaum Singapura akan terus berbuat demikian pada bila-bila masa, kata Presiden Puan Halimah Yacob.

Bercakap kepada wartawan selepas menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Sultan pada 15 Jun, Puan Halimah berkata:

"Pada bulan Ramadan lalu, banyak pertubuhan, bukan sahaja pertubuhan Muslim malah yang bukan Muslim telah menganjurkan banyak acara, seperti majlis iftar, bagi memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan... pada masa yang sama, mereka memberikan bantuan kewangan.

"Bagi saya, inilah semangat dan maksud sebenar Ramadan," kata Puan Halimah.

Puan Halimah turut mendedahkan bahawa Ramadan dan sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna yang lebih istimewa untuknya secara peribadi, selepas beliau mendapat cucu sulung, seorang bayi perempuan yang lahir pada 9 Jun, bersamaan 24 Ramadan.

"Bagi saya, waktu perayaan ini memberikan makna yang penting kerana saya juga merindui arwarh ibu saya, kerana semasa hayatnya, saya membelikannya baju kurung dan beliau akan memakainya pada 1 Syawal. Kini sudah tiga tahun beliau meninggalkan kita.

"Namun, Aidilfitri kali ini juga adalah tempoh yang amat menggembirakan buat saya... kerana saya mendapat cucu pertama. Justeru, ia adalah saat yang amat penting dan menjadikan Ramadan dan Hari Raya ini pengalaman manis yang akan saya kenangi," ujar Puan Halimah, yang berkata beliau bercadang untuk mengunjungi rumah cucunya di rumah selepas menunaikan solat Aidilfitri.

Puan Halimah juga akan menjadi tuan rumah kepada warga Singapura petang ini, apabila Istana dibuka kepada awam nanti.

Puan Halimah menyambut Aidilfitri sebagai presiden buat julung-julung kali tahun ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg