AGENSI air negara PUB dan Sembcorp Floating Solar Singapore, anak syarikat Sembcorp Industries, pada Isnin (11 Mei) menandatangani persetujuan pembelian kuasa (PPA) untuk membina sistem panel suria terapung fotovoltan yang boleh menjana sehingga 60 megawatt-puncak (MWp) kuasa elektrik di Kolam Air Tengeh.
Pengumuman ini berikutan pelantikan Sembcorp pada Februari lalu untuk mencipta, membina, memiliki dan mengendalikan projek itu.
Sistem panel terapung itu, apabila siap pada 2021, dijangka menjadi yang terbesar di Singapura, dan boleh menjana tenaga elektrik yang mencukupi untuk digunakan 16,000 flat empat bilik HDB, kata PUB, dalam kenyataannya.
Ia juga akan menjana tenaga elektrik bagi memenuhi keperluan operasi harian di lima saluran air tempatan PUB, termasuk Marina Barrage.
Ini menjadikan Singapura antara segelintir negara di dunia yang dapat mencapai saluran air 100 peratus "hijau" apabila projek ini diselesaikan.
Nota: Laporan ini telah dikemaskini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg