SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pusat vaksin untuk ibu hamil di KKH

Pusat vaksin untuk ibu hamil di KKH

Jun 9, 2021 | 5:30 AM

Pusat vaksin untuk ibu hamil di KKH

TIDAK TERAGAK-AGAK DAPATKAN VAKSIN: Cik Nur Nasihah, yang hamil 14 minggu, merupakan antara enam wanita hamil yang divaksin di Pusat Vaksinasi Covid-19 di KKH semalam. - Foto KKH
TIDAK TERAGAK-AGAK DAPATKAN VAKSIN: Cik Nur Nasihah, yang hamil 14 minggu, merupakan antara enam wanita hamil yang divaksin di Pusat Vaksinasi Covid-19 di KKH semalam. - Foto KKH -

CIK Nur Nasihah Mohd Anuar, 25 tahun, yang hamil 14 minggu, tidak teragak-agak untuk mengambil vaksin Covid-19 apabila ditawarkan oleh doktornya di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Beliau, yang sedang mengandung anak sulungnya, berkata apa yang penting ialah vaksin itu boleh membantu melindungi beliau dan janinnya daripada penyakit tersebut.

Sebelum mengambil vaksin itu, beliau telah membincangkannya bersama rakan lain yang hamil serta anggota keluarganya, yang turut menyokong keputusannya untuk mengambil vaksin tersebut.

Cik Nasihah percaya mencegah itu lebih baik daripada merawat, dan menggalakkan lebih ramai wanita hamil untuk menerima vaksin Covid- 19, dan tidak berlengah lagi.

Beliau merupakan antara enam wanita hamil yang telah divaksinasi semalam di Pusat Vaksinasi Covid-19 KKH yang baru ditubuhkan.

"Untuk menyokong usaha Singapura meningkatkan vaksinasi Covid-19 dan meningkatkan perlindungan bagi wanita hamil daripada Covid-19, KKH telah menubuhkan Pusat Vaksinasi Covid-19 di hospital ini untuk memberi khidmat kepada golongan ini.

"Pusat itu telah memberi vaksin kepada enam wanita hamil hari ini (semalam) dan menjangkakan lebih ramai akan divaksin pada minggu-minggu akan datang," kata KKH dalam satu kenyataan semalam.

Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) telah berkata baru-baru ini bahawa ibu hamil dan pesakit barah yang sedang menjalani rawatan aktif boleh mendapatkan vaksin Covid-19.

Ini sedang pasukan itu menarik perhatian bahawa lebih ramai orang telah divaksin di peringkat global dan setempat, dan menyediakan lebih banyak bukti bagi keberkesanan dan keselamatan vaksin.

Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 telah menyemak data bagi kumpulan seperti wanita hamil dan pesakit barah, dan berpendapat vaksin selamat bagi mereka.

Wanita hamil juga dinasihatkan untuk membincangkan risiko dan manfaat vaksin dengan doktor mereka sebelum membuat keputusan tentang vaksin itu.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg